Menggilap kembali pasar karat Rengit

Pelbagai barangan daripada bersaiz kecil sehingga sebesar peti sejuk akan disusun di sepanjang jalan. - Foto Bernama
Pelbagai barangan daripada bersaiz kecil sehingga sebesar peti sejuk akan disusun di sepanjang jalan. - Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Terletak kira-kira 45 kilometer dari pekan Batu Pahat, sebuah perkampungan Orang Asli di daerah Rengit adalah syurga membeli-belah kepada peminat barang-barang terpakai.

Sesiapa sahaja boleh rambang mata sekiranya melalui jalan masuk ke Kampung Bumiputera Dalam ekoran pelbagai barangan daripada bersaiz kecil sehingga sebesar peti sejuk akan disusun di sepanjang jalan berkenaan bagi membolehkan pengunjung memburu barangan terpakai hanya dengan menerusi tingkap kereta sahaja.

Beroperasi setiap hari, ‘pasar karat’, yang merujuk pasar tempat menjual barang antik atau barang terpakai, dahulunya sentiasa sibuk menerima kunjungan pembeli sama ada secara kecil-kecilan mahupun borong.

Sebilangan besar barangan terpakai yang dijual di pasar karat kebanyakannya diimport dari Singapura seperti perabot, barangan elektrik, permainan, alatan kelengkapan rumah, perhiasan rumah dan pakaian terpakai.

Paling menarik perhatian adalah banyak barangan elektrik berjenama terkemuka menjadi produk utama jualan, selain perabot, barang permainan dan perhiasan rumah, malah ada juga yang menjual pakaian terpakai berkonsepkan 'bundle'.

Namun begitu, perniagaan pasar karat Orang Asli ini kian merudum, malah suasana yang dahulunya meriah kini bertukar suram ekoran tempias wabak Covid-19.

Menurut seorang peniaga di kawasan berkenaan, Sa’adiah Sarom, 56, dahulu dia mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000 sebulan namun kini untuk mencapai angka itu amat sukar sekali.

Beliau berkata, pengunjung dari luar dan dalam negara semakin berkurangan, berkemungkinan orang ramai mula takut untuk keluar akibat virus itu.

"Sejak PKP memang susah untuk saya mencari rezeki, orang tak ramai, sekarang kena tunggu sampai sebulan lebih baru dapat pusing modal. Nak buat macam mana,” demikian luahan Sa’adiah kepada Bernama baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu turut dipersetujui Muhammad Fridaus Bahari, 31, yang merupakan seorang peniaga di kampung itu dan dia menyifatkan wabak Covid-19 ibarat peristiwa malang menimpa kampungnya.

"Sekarang susah nak berniaga, nak ambil barang dari Singapura pun susah, tak boleh rentas dan barang pun sekarang naik harga, sebab itu ramai peniaga kat sini dah tutup kedai,” katanya.

Kampung Bumiputera Dalam mempunyai lebih 500 keluarga etnik ‘Orang Asli Kuala’ dan merupakan kawasan Pasar Karat terbesar di Batu Pahat.

Dalam menyelami keperitan penduduk Orang Asli, Bernama menemu bual bekas Senator Datuk Osman Bongsu yang merupakan penduduk di kampung itu.

Menurut Osman, beliau menyeru agar kerajaan boleh mempertimbangkan pembangunan penempatan semula Orang Asli di Kampung Bumiputera Dalam, khususnya membuat penambahbaikan infrastruktur jalur lebar di kampung itu.

Beliau berkata, sekiranya sistem jalur lebar yang efisien wujud di kampungnya, ia dapat juga membantu Orang Asli dalam meneroka peluang perniagaan digital.

"Selain itu, sistem perparitan di kampung juga perlu diteliti kembali ekoran sudah lebih 10 tahun sistem perparitan kampung tidak pernah diselenggara disebabkan kedai-kedai penjual barang terpakai ini dibina sepanjang susur masuk jalan kampung,” katanya. - Bernama