PATI dicekup tak sempat kerja amah, pembantu kedai

Lima PATI warga Indonesia yang ditahan di Parit Baru Sungai Air Tawar pada Khamis.
Lima PATI warga Indonesia yang ditahan di Parit Baru Sungai Air Tawar pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Hasrat lima pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja di negara ini tidak kesampaian apabila mereka dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) di Parit Baru Sungai Air Tawar di sini pada Khamis.

Kesemua mereka yang ditahan kira-kira jam 8 pagi itu dipercayai berasal dari Medan, Indonesia dan baharu tiba di negara ini menggunakan jalan tidak diwartakan dengan menaiki bot.

Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintendan Rizal Mohamed berkata, mereka yang ditahan itu terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 33 hingga 55 tahun.

"Lima PATI ditahan ketika pasukan kami melakukan rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Rizal berkata, siasatan mendapati kesemua warga asing itu dari kampung yang sama di Medan, Indonesia membayar kira-kira RM1,500 untuk masuk ke negara ini dan ingin bekerja sebagai pembantu rumah dan pembantu kedai makan.

"Pemeriksaan mendapati semua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah," katanya.

Jelas beliau, semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sungai Air Tawar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka turut menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan pandemik dalam kalangan pesalah dan petugas," ujarnya.

Artikel Berkaitan: