PRN Johor: Panggung Rakyat curi tumpuan

Antara jentera anak muda yang menggerakkan Panggung Rakyat di sekitar negeri Johor. (Gambar kecil: Mubarak)
Antara jentera anak muda yang menggerakkan Panggung Rakyat di sekitar negeri Johor. (Gambar kecil: Mubarak)
A
A
A

BATU PAHAT - Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia tampil dengan pendekatan kempen baharu Panggung Rakyat yang bercirikan santai untuk menarik minat pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Panggung Rakyat merupakan kempen secara bergerak dengan menggunakan lori sambil menyampaikan mesej secara kreatif melalui puisi, sorakan semangat, pidato dan sketsa.

Presidennya, Mubarak Kunyi berkata, idea tersebut tercetus disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk berkempen di samping cara berkempen sebelum ini hanya sekadar ceramah dan ‘Speaker Corner’.

“Panggung Rakyat adalah kempen yang digerakkan oleh anak muda bagi memberi mesej kepada rakyat mengenai politik tanah air dan negeri Johor.

“Dalam keadaan SOP pilihan raya yang ketat dan selalu berubah, mesej tetap dapat disampaikan kepada masyarakat terutama berkaitan kestabilan politik dan masa depan negeri Johor,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Mubarak berkata, kempen melalui Panggung Rakyat ini juga dilihat mampu meredakan ketegangan politik yang boleh menyebabkan anak muda bosan dan tidak mengambil endah mengenai politik semasa.

“Saya terkejut dengan respon dan penerimaan masyarakat setempat ini yang agak responsif kerana tidak pernah nampak cara pembawaan (Panggung Rakyat) ini," ujarnya.

Jelasnya, Panggung Rakyat itu akan diteruskan dan kemuncak di Johor Bahru bermula petang hingga 12 tengah malam pada Jumaat dan itu akan menjadi mesej terakhir yang ingin disampaikan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Farhan Khairuddin berkata, Panggung Rakyat itu menghimpunkan golongan mahasiswa, belia, selebriti, aktivis politik dan ramai lagi anak muda dengan menjelajah ke seluruh negeri Johor.

Ujarnya, ia satu perkara yang luar biasa kerana boleh melihat siapa yang berada di minda masyarakat.

“Ada yang buat tanda bagus, melambai dan bila kita ajak menari serta menyanyi disambut dengan baik.

“Jadi ini gambaran bahawa dalam ketegangan politik ini, unsur-unsur sebegini boleh menarik minat mereka dan setidak-tidaknya boleh melihat demokrasi berjalan lebih santai dalam kita menyampaikan mesej-mesej tertentu," katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my