Pesara rugi RM560,000 ditipu ‘pegawai kanan polis’

Risikin
Risikin
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang pesara berusia 71 tahun kerugian RM560,000 selepas diperdaya pembantu pasar malam yang menyamar sebagai pegawai kanan polis Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, pesara tersebut menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memaklumkan dia mempunyai kes jenayah berkaitan pengubahan wang haram, Isnin lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa mempunyai beberapa bungkusan yang diposkan dan akaun pengadu dikatakan terlibat dengan kegiatan jenayah pengubahan wang haram.

“Mangsa yang ketakutan disambungkan ke beberapa talian telefon dan bercakap dengan ‘pegawai polis’.

“Suspek kononnya tawar bantuan dengan arah mangsa pindahkan segala wang simpanan ke akaun pegawai Bank Negara untuk tujuan audit dan siasatan,” katanya.

Risikin berkata, percaya dengan kata-kata suspek yang memberitahu wang akan dikembalikan selepas siasatan selesai, mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberi.

“Selepas sedar ditipu dan alami kerugian, pesara pegawai pemasaran itu membuat laporan polis semalam,” katanya.

Bertindak atas laporan, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Subang Jaya dengan kerjasama pihak bank menahan seorang lelaki semasa cuba mengeluarkan wang berjumlah RM250,000 melalui kaunter sebuah bank di Kuala Lumpur hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tangkapan dibuat hasil pemantauan dan siasatan apabila suspek didapati mengeluarkan sejumlah wang yang banyak pada hari sebelumnya.

“Suspek berusia 60 tahun bekerja sebagai pembantu di sebuah pasar malam disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dibuat ke atasnya.

“Polis turut merampas buku akaun bank dan resit transaksi pengeluaran wang,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, 18 kes penipuan komunikasi (macau scam) direkod di kawasan IPD Subang Jaya membabitkan kerugian sebanyak RM802,970.10 sejak Januari lalu.

Tahun lalu, sebanyak 82 kes direkod melibatkan kerugian sebanyak RM5,924,971.63

“Saya nasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya. Hubungi pihak polis atau institusi kewangan bagi tujuan pengesahan,” katanya.