'Pandangan cetek kata Singapura maju kerana tiada UMNO'

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

LEDANG - Kenyataan dibuat Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa Singapura lebih maju berbanding Malaysia kerana tiadanya UMNO di negara itu merupakan pandangan cetek.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu perlu mengingati sejarah bahawa UMNO pernah ada di negara berkenaan pada suatu ketika dahulu.

“Dia (Mohd Amar) tak ingat ke dahulu di Singapura pun ada UMNO? Dan ditukar kepada Persatuan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS).

“Kalau kita mahu memperkecilkan pihak lawan ataupun rakan-rakan politik yang lain, saya fikir guna lah alasan-alasan yang lebih intelektual.

“Kalau macam itu, Amerika maju kerana tiada UMNO juga? atau Perancis? jadi Kelantan maju kerana tiada UMNO?" katanya kepada pemberita selepas sesi ramah mesra bersama pengundi di Sawah Ring pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas mengenai kenyataan dibuat Mohd Amar yang dilapor menyatakan Singapura jauh lebih maju berbanding Malaysia kerana tiadanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negara tersebut.

Beliau merupakan Pengerusi BN menambah perkara tersebut terlalu remah untuk dirinya memberi maklum balas.

“Saya fikir alasan kebudak-budakan ini kita tak perlu layanlah. Biarlah alasan yang intelektual.

Artikel Berkaitan:

“Perkara terlalu remeh untuk saya berikan respons,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengulas mengenai adakah pihaknya akan memujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) selepas ini.

“Tak perlu pujuk. Kita akan ada pembahas-pembahas daripada negeri-negeri. Kita akan lihat bagaimana jurucakap daripada negeri-negeri itu akan membahaskan ucapan dasar presiden,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, daripada perbahasan tersebut, mereka akan mengumpul hasil dapatan pandangan itu.

“Maka ketetapan atau usul akan dibuat daripada apa yang akan disampaikan oleh jurucakap-jurucakap kerajaan berdasarkan fakta-fakta politik semasa.

“Jika sebahagian besarnya memerlukan apa yang disebut sebagai memperoleh mandat baru daripada rakyat, maka itulah akan menjadi ketetapan pada PAU nanti,” jelasnya.