Pemandu lori didenda RM6,000 hantar mesej lucah

Mohd Razman didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Khamis kerana menghantar mesej lucah kepada seorang wanita tidak dikenali dua tahun lalu.
Mohd Razman didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Khamis kerana menghantar mesej lucah kepada seorang wanita tidak dikenali dua tahun lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Tindakan seorang pemandu lori menghantar mesej lucah kepada seorang wanita tidak dikenali dua tahun lalu membawa padah apabila dia didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Mohd Razman Ramli, 32, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mahkamah turut memerintahkan OKS yang juga seorang bapa tunggal dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi WhatsApp secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah sifatnya kepada seorang wanita dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Mesej itu telah dilihat di sebuah rumah di Ara Damansara, di sini pada jam 2.49 petang, 20 April 2020 lalu.

Mengikut fakta kes, mangsa membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selepas melihat mesej lucah yang dihantar OKS.

Bertindak atas laporan itu, pegawai MCMC membuat serbuan bersama pasukan polis di Jertih, Terengganu dan merampas barang-barang kes.

Hasil analisa mendapati terdapat komunikasi lucah sebagai mana yang diadu oleh mangsa.

Artikel Berkaitan:

Atas kesalahan itu, OKS didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi 1an Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Semasa prosiding, OKS yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatan tersebut dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan.

"Selepas bercerai, saya menjaga dua anak yang masih kecil dan ibu yang uzur," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa MCMC, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar dia tidak mengulangi kesalahan sama.

Beliau berkata, pendakwaan turut memohon satu perintah lucut hak terhadap barang-barang kes.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut.