PPP berperanan pastikan rakyat terima perkhidmatan kesihatan terbaik

Peranan PPP di perkhidmatan rawatan prahospital dan ambulans amat penting dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
Peranan PPP di perkhidmatan rawatan prahospital dan ambulans amat penting dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peranan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) sangat penting termasuk penglibatan mereka secara aktif dalam aktiviti saringan, rawatan dan kawalan semasa pandemik Covid-19, dalam memastikan rakyat di negara ini mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peranan PPP di perkhidmatan rawatan prahospital dan ambulans juga amat penting, dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

"Malah Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan juga merupakan sekretariat latihan bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk melatih anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam catatan di laman Facebook rasmi beliau sempena sambutan Hari Pembantu Perubatan pada Khamis.

Menurut Dr Noor Hisham, 10 Mac setiap tahun diisytiharkan sebagai hari pembantu perubatan di seluruh negara dan ia merupakan suatu bentuk penghargaan kepada mereka atas sumbangan terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan.

"Ini seterusnya memberikan impak positif terhadap motivasi serta semangat ahli profesion PPP di Malaysia untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang,” katanya.

Mengenai tema sambutan tahun ini iaitu ‘Bersama perangi pandemik ke arah kesejahteraan keluarga Malaysia’, Dr Noor Hisham berkata, ia mencerminkan kesungguhan warga PPP untuk memberi perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh, profesional dan berdedikasi bagi memastikan kesejahteraan masyarakat.

Beliau juga berharap melalui perancangan masa hadapan yang dibuat KKM, ia mampu meningkatkan lagi keupayaan PPP untuk menyumbang idea, tenaga, kemahiran dan kepakaran demi kebaikan bersama.

"Terima kasih kepada semua wira dan wirawati PPP atas segala jasa bakti, pengorbanan, dan dedikasi tugasan yang terpuji.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya profesion ini akan sentiasa memberi inspirasi dengan memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik dengan penuh profesionalisme demi negara. Andalah adiwira di hati rakyat Malaysia,” katanya. - Bernama