Pahang promosi teknologi hijau dan sektor tenaga baharu

Mohd Sharkar ketika berucap pada Majlis Perasmian Pahang International Tourism Symposium 2022 secara maya pada Khamis.
Mohd Sharkar ketika berucap pada Majlis Perasmian Pahang International Tourism Symposium 2022 secara maya pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan menyediakan beberapa loji jana kuasa solar di negeri itu sebagai usaha mempromosi teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, antara salah satu tenaga boleh diperbaharui terbesar di negari ini ialah loji jana kuasa biogas yang terletak di Bera.

"Tenaga boleh diperbaharui melalui biogas dihasilkan daripada minyak kelapa sawit dan penggunaan tenaga itu dapat membantu mengawal efluen kilang serta mengurangkan penggunaan arang batu atau gas asli.

"Kita sedar kebaikan tenaga boleh diperbaharui ini dan ia sebenarnya turut akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan seperti perhotelan.

"Malahan, amalan ini sebenarnya dapat mencipta laluan untuk persekitaran yang lebih lestari pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pahang International Tourism Symposium 2022 secara maya pada Khamis.

Majlis itu merupakan anjuran Tourism Pahang dengan Kerjasama Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) bertemakan Pelancongan Hijau dan Strategi Kemampanan (Green Tourism and Sustainability Strategies) yang disertai beberapa negara seperti India, Korea Selatan, Filipina, Pakistan dan Vietnam.

Mohd Sharkar berharap dapat menghidupkan semula acara pelancongan berasaskan alam sekitar yang tertangguh sebelum ini akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, antara acara yang telah diaturkan ialah perlumbaan burung antarabangsa di Bukit Fraser, pertandingan billfish antarabangsa Diraja Pahang, cabaran hutan hujan dengan memulakan pendakian di Pulau Tioman dan beberapa kawasan menarik di Pahang.

Artikel Berkaitan:

"Ini antara inisiatif yang dilakukan bagi mempamerkan keindahan semula jadi kawasan di Pahang kepada pelancong.

"Kita harap inisiatif ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan di Pahang selepas pembukaan sempadan negara bermula 1 April depan," ujarnya.