Anwar persoal kenyataan Ismail Sabri yakin BN menang

Anwar semasa berceramah ketika menyantuni calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri Gambir, Naim Jusri sempena Jelajah Johornya pada Rabu.
Anwar semasa berceramah ketika menyantuni calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri Gambir, Naim Jusri sempena Jelajah Johornya pada Rabu.
A
A
A

PAGOH - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Barisan Nasional (BN) mampu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Anwar berkata, sekiranya benar-benar yakin dengan keputusan berkenaan, maka sempadan negara antara Johor dan Singapura sepatutnya boleh dibuka lebih awal daripada 1 April tahun ini.

Menurutnya, pembukaan sempadan itu membolehkan pengundi dari Singapura datang ke Johor dan turun mengundi pada PRN Johor.

"Kalau dia yakin betul, apalah beza dua minggu ini. Kalau Perdana Menteri betul-betul yakin dia ada kekuatan (untuk menang dalam PRN Johor), dia boleh buka sempadan sebelum 1 April untuk membolehkan rakyat buat pilihan.

"Tetapi kerana ratusan ribu itu (akan turun) pilih dan dia yakin (pengundi dari Singapura) tidak akan memilih BN maka dia akan 'block' (tutup sempadan), maknanya dia tidak yakin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Johornya di Gambir pada Rabu.

Pada Ahad, Ismail Sabri memaklumkan bahawa peluang kemenangan BN adalah cerah dan menyasarkan kemenangan dua pertiga pada PRN Johor kali ini.

Bagaimanapun, menurutnya, gabungan parti itu tidak mahu hanya memperoleh majoriti mudah.

Artikel Berkaitan:


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my