Dua jurugambar selamatkan wanita di Jambatan Pulau Pinang

Ahmad Zhafaran cuba memujuk wanita yang dilihat duduk dalam keadaan mencurigakan di atas Jambatan Pulau Pinang pada Rabu.
Ahmad Zhafaran cuba memujuk wanita yang dilihat duduk dalam keadaan mencurigakan di atas Jambatan Pulau Pinang pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Tindakan pantas dua jurugambar berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian pada tengah hari Rabu.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, jurugambar The Star, Ahmad Zhafaran Nasib, 38, dan jurugambar The Sun, Masry Che Ani, 48, sedang menunggang motosikal dari arah Seberang Perai menuju ke pulau sebelum melihat wanita dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 3.4 jambatan terbabit.

Masry berkata, ketika itu beliau melihat wanita yang memakai topi keledar duduk di atas tembok jambatan.

"Kami terdengar dia menangis teresak-esak dan percaya mangsa mempunyai masalah sebelum cuba memujuknya supaya tidak mengambil jalan singkat.

“Saya dan Zhafaran terus menariknya bagi menghalang daripada dia terjatuh ke dalam laut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Masry berkata, Ahmad Zhafaran kemudian cuba menenangkan wanita berkenaan sebelum menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zhafaran berkata, selepas berjaya menyelamatkan wanita itu, beliau berusaha memujuk mangsa yang dipercayai mempunyai masalah keluarga.

Katanya, detik cemas itu berlaku kira-kira lebih 30 minit sebelum pasukan peronda PLUS Malaysia Berhad (PLUS) tiba.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa berusia 37 tahun dari Georgetown mendakwa tertekan akibat masalah keluarga dan saya memujuknya supaya mengingati insan tersayang.

"Ini adalah pengalaman pertama saya memujuk mangsa dalam situasi berkenaan dan menasihati orang ramai supaya tidak mengambil jalan singkat jika berdepan dengan ujian hidup," katanya.