Kluster Citrawarna diisytihar di Sarawak

JPBN Sarawak mengesan kluster baharu iaitu Kluster Citrawarna di daerah Kuching, setelah 21 individu disahkan positif Covid-19.
JPBN Sarawak mengesan kluster baharu iaitu Kluster Citrawarna di daerah Kuching, setelah 21 individu disahkan positif Covid-19.
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Rabu mengesan kluster baharu iaitu Kluster Citrawarna di daerah Kuching, setelah 21 individu disahkan positif Covid-19, sementara enam kes lagi masih belum diketahui.

JPBN Sarawak dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, kluster ini bermula daripada seorang lelaki warga tempatan berumur 45 tahun yang dikesan positif melalui saringan individu bergejala pada 27 Februari lepas di sebuah hospital swasta di sini.

"Kluster ini merupakan satu kluster komuniti melibatkan kes-kes yang terlibat secara langsung dengan Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung selama empat hari bermula 24 Februari di Tebingan Kuching. Anggaran pengunjung adalah 50,000 orang,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, 24 kes positif lain yang bukan dari kluster ini turut dikesan mempunyai pergerakan menghadiri program berkenaan.

Berikutan itu, jawatankuasa berkenaan menasihati orang ramai yang menghadiri program berkenaan untuk membuat saringan kendiri sekiranya mengalami sebarang gejala dan mengelakkan daripada menghadiri aktiviti perkumpulan ramai yang menyukarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Sementara itu, kenyataan JPBN turut menyatakan jumlah kes harian terbaharu di Sarawak dicatatkan sebanyak 1,727 dengan 13 daripadanya dikategorikan sebagai jangkitan paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen dan ventilator.

Dua kes kematian turut direkodkan melibatkan seorang lelaki berusia 72 tahun di Hospital Daerah Kapit dan seorang wanita berusia 60 tahun di Hospital Daerah Mukah. - Bernama

Artikel Berkaitan: