35 pukat pari ancam populasi penyu dirampas

Ruzaidi ( tiga dari kanan) memeriksa pukat pari yang dirampas di Jabatan Perikanan Terengganu, pada Rabu.
Ruzaidi ( tiga dari kanan) memeriksa pukat pari yang dirampas di Jabatan Perikanan Terengganu, pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Jabatan Perikanan Terengganu merampas 35 pukat pari yang dipercayai menjadi antara punca utama kematian serta mengancam populasi penyu di negeri ini.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, rampasan itu melibatkan 33 pukat di Kemaman dan Dungun (dua) dalam operasi yang dijalankan selama dua hari.

"Kesemua pukat itu dijumpai di pangkalan nelayan di dua daerah berkenaan.

"Kita percaya kumpulan nelayan sudah tahu pukat ini mengancam penyu tetapi tetap gunakan pukat ini kerana mahukan hasil yang lebih banyak," katanya pada sidang media di Jabatan Perikanan Terengganu, Chendering, pada Rabu.

Ruzaidi berkata, pukat berkenaan disita di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.

"Kita dapati kesemua pukat tunda yang dirampas adalah lebih 10 inci di mana penggunaan pukat pari ini telah diharamkan di seluruh negara sejak 1980," katanya.

Menurutnya, sebanyak 37 jeti dan 51 bot turut diperiksa dalam operasi tersebut.

Dalam pada itu, Ruzaidi berkata, penggunaan pukat pari menjadi antara punca utama kematian penyu yang ketara berlaku kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan nelayan tempatan menggunakan pukat ini secara meluas kerana ia lebih mudah untuk menangkap ikan pari.

"Bagaimanapun, ia sebenarnya turut memerangkap penyu. Penyu-penyu ini perlu naik ke permukaan air 45 minit sekali untuk bernafas. Kebanyakan penyu yang terperangkap pada pukat ini akan mati dan tidak dapat diselamatkan," katanya.

Berdasarkan rekod, sebanyak 27 ekor penyu daripada spesies agar dan karah ditemui mati di pesisir pantai Terengganu sehingga 1 Mac lalu.