Bengang dimarah jiran cuba jual dadah punca bakar motosikal

Kebakaran di kawasan parkir motosikal turut menyebabkan empat kereta musnah dalam kebakaran di PPR Intan Baiduri, awal pagi Jumaat lalu.
Kebakaran di kawasan parkir motosikal turut menyebabkan empat kereta musnah dalam kebakaran di PPR Intan Baiduri, awal pagi Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bengang dimarah jiran kerana cuba menjual dadah kepada anaknya punca seorang pekerja pasar borong bertindak membakar motosikal jirannya itu di kawasan parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri di sini pada Jumaat.

Tindakannya itu menyebabkan kebakaran merebak memusnahkan 52 buah kenderaan di kawasan parkir berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beng Eng Lai berkata, perselisihan faham terjadi selepas mangsa memarahi lelaki berusia 31 tahun yang juga suspek utama kes kerana cuba menjual dadah kepada anaknya.

Beh Eng Lai
Beh Eng Lai

"Dalam kejadian jam 4.21 pagi itu, suspek berkenaan tidak berpuas hati dan menyasarkan motosikal milik mangsa untuk dibakar sebelum api mula merebak.

"Suspek menyalakan api di tempat duduk yang koyak pada motosikal milik mangsa dan tidak menjangkakan kebakaran tersebut merebak serta memusnahkan kenderaan lain.

"Anggaran kerugian keseluruhan kebakaran tersebut hampir mencecah RM300,000," katanya pada dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Rabu.

Media pada Jumaat melaporkan seramai dua suspek berusia 31 dan 59 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian kebakaran kenderaan di blok C PPR tersebut.

Artikel Berkaitan:

Hasil ujian air kencing ke atas suspek utama didapati negatif manakala suspek kedua positif dadah jenis methamphetamine.

Mengulas lanjut, Eng Lai, seramai tiga lelaki disyaki terlibat dalam kejadian tersebut ditahan di mana kesemuanya tinggal di Blok C PPR tersebut.

"Suspek utama berusia 31 tahun mengaku melakukan perbuatan tersebut seorang diri.

"Susulan daripada tangkapan yang dilakukan, pihak polis telah berjaya merampas satu unit pemetik api dipercayai telah digunakan untuk memulakan kebakaran," katanya.

Beliau berkata, suspek utama kes berkenaan mempunyai sembilan rekod jenayah membabitkan kes bunuh, bergaduh dan samun serta lima kesalahan berkaitan narkotik.

"Kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur.

"Suspek utama kes ini akan dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi suspek yang ditangkap akan dijadikan saksi pendakwaan," ujarnya.