Pahang lantik 100 guru gred DG41

Syed Ibrahim (dua dari kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak (kiri) mengiringi Wan Rosdy menyampaikan surat pelantikan kepada guru terlibat dalam satu majlis di Bentong pada Selasa. - Foto FB Syed Ibrahim.
Syed Ibrahim (dua dari kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak (kiri) mengiringi Wan Rosdy menyampaikan surat pelantikan kepada guru terlibat dalam satu majlis di Bentong pada Selasa. - Foto FB Syed Ibrahim.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 100 guru bantuan Amanah Saham Pahang (ASPA) dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 bagi meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah pelajar di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bagi tujuan itu kerajaan negeri memperuntukkan RM4.09 juta setahun seperti diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, pelantikan guru berkenaan secara kontrak untuk tempoh dua tahun.

"Walaupun berstatus lantikan kontrak, guru terlibat akan menerima manfaat sama seperti penjawat awam tetap yang lain.

"Selain tangga gaji yang lebih baik, mereka juga akan menerima elaun perumahan, imbuhan tetap khidmat awam, elaun sara hidup dan layak menerima bonus jika ada," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Syed Ibrahim berkata, surat lantikan kepada penerima itu diserahkan Wan Rosdy pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pegawai Pendidikan DG41 dan Bonus Guru Bantuan ASPA bagi SMAN Pahang di Bentong pada Selasa.

Beliau berkata, secara umumnya, guru-guru terlibat sama sebagaimana penjawat awam tetap, cuma tiada pencen.

"Selama ini, guru terlibat dilantik secara khidmat sukarela dan hanya menerima imbuhan bulanan daripada ASPA, namun melalui pelantikan itu mereka akan menerima imbuhan bulanan dan elaun sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan negeri itu sebagai satu pengiktirafan atas sumbangan mereka yang telah memberi khidmat bakti terbaik dalam meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah pelajar SMAN di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Pelantikan itu bukan sahaja menggembirakan pendidik yang sekian lama berbakti, malah akan meningkatkan semangat dan memberi ruang kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang," katanya.

Syed Ibrahim berkata, kerajaan turut bersetuju memberi bonus RM1,200 kepada guru-guru ASPA yang berkhidmat di SMAN seluruh Pahang.

"Inisiatif ini bukti kerajaan negeri amat mementingkan agenda pembangunan institusi agama dalam mengembangkan ilmu serta melahirkan modal insan yang berkualiti," katanya.

Katanya, sebagaimana yang dihasratkan Menteri Besar, guru-guru yang menerima lantikan itu diharap dapat melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan berdedikasi demi melahirkan modal insan terbaik yang boleh menyumbang kembali khidmat bakti mereka kepada bangsa, agama dan tanah air.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!