'Sambutan pengundi Cina kali ini, tak mungkin saya dapat pada 2018'

Najib ketika ditemui pemberita selepas sesi beramah mesra bersama penduduk setempat di Taman Sakeh Baru pada Rabu.
Najib ketika ditemui pemberita selepas sesi beramah mesra bersama penduduk setempat di Taman Sakeh Baru pada Rabu.
A
A
A

MUAR - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak melihat sambutan pengundi Cina menggalakkan jika dibandingkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 terhadap gabungan itu dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Pekan turut memberikan contoh sambutan yang diterimanya itu dalam program ramah mesra bersama penduduk setempat di Taman Sakeh Baru pada pagi Rabu.

“Sambutan yang saya dapat pagi ini tak mungkin saya dapat pada tahun 2018. Itu satu perubahan yang cukup menggalakkan.

“Namun kita harap ia diterjemahkan dalam bentuk undi pada 12 Mac nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi beramah mesra bersama penduduk setempat di Taman Sakeh Baru pada Rabu.

Hadir sama adalah calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Gan Q’i Ru, calon DUN Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin dan calon DUN Simpang Jeram, Datuk Lokman Md Don.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Menyentuh mengenai cabaran debatnya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu Felda, Najib menyatakan masih belum menerima apa-apa isyarat daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

“Tak ada. Soalan saya beri pun dia tak jawab. Jadi tak bolehlah tuduh saya merosakkan Felda.

Artikel Berkaitan:

“Sebab orang Felda tahu saya yang mewarisi daripada Tun Abdul Razak. Takkan saya nak merosakkan Felda,” tegasnya.

Najib berkata, semasa beliau menjadi Perdana Menteri, Felda lebih maju dan bantuan kebajikan mereka juga terbela.

Najib sebelum ini mencabar Muhyiddin berdebat mengenai Felda dan berkata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh membantu ‘bosnya’.

Ia susulan tindakan Mohamed Azmin yang mencabar Najib berdebat menjelang hari pengundian pada PRN Johor 12 Mac ini.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my