PRN Johor: Anak muda tidak boleh sembrono pilih pemimpin
JOHOR BAHRU - Anak muda tidak boleh mengambil sikap 'sembrono' atau 'lebih kurang' dalam membuat keputusan memilih pemimpin bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Presiden Parti Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengundi muda perlu jelas serta membuat penilaian tepat dari segi kepimpinan seseorang individu dan parti.
Ujar beliau, kepimpinan merupakan teras utama dalam memastikan pemimpin yang dipilih adalah orang yang boleh dipercayai serta dapat membawa masa depan Johor yang lebih baik.
"Sebab itu waktu kita berhadapan dengan PRN Johor yang amat genting ini, saya rasa cukup bimbang sekiranya selepas 12 Mac akan datang ini bila diisytiharkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa Barisan Nasional (BN) sudah pun menang besar di negeri Johor.
"Kebimbangan itu bukan kenapa. Antara perkara yang mungkin terkesan dengan keputusan itu adalah apakah sikap generasi muda terhadap sebuah kepimpinan dan kerajaan yang mereka mahu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program Pentas Anak Muda Johor pada Selasa.
Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pemuda PN, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan Timbalan Ketua, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zen.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, suara anak muda juga memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju masa depan rakyat dan negeri Johor.
"Kepimpinan yang macam manakah yang kita kehendaki untuk memelihara dan menjaga masa depan kita.
"Bila kita sebut tentang kepimpinan, maka sudah pastilah kita harus menilai mana-mana parti yang bertanding di atas sifat kepimpinannya sama ada pemimpin-pemimpin yang menerajui parti parti itu adalah pemimpin yang boleh dipercayai ataupun sebaliknya.
"Kita sebagai anak muda tidak boleh mengambil satu sifat orang kata 'semberono', 'lebih kurang' dan tidak membuat penilaian tepat untuk memutuskan pemimpin mana yang nak kita pilih," ujarnya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!