Terlibat kemalangan ketika lari dari polis

Roslan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas.
Roslan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penganggur kritikal akibat kemalangan dipercayai ketika melarikan diri dari polis di Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, suspek yang berusia 34 tahun cedera di kepala dan badan selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintendan Roslan Yusof Mohamad berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Bachok, Tawang dan Gunong dalam tugasan Ops Lejang membuat pemeriksaan dan ternampak lelaki menunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru menghala ke Pak Pura, Bachok.

“Lelaki itu menunggang menuju ke arah polis, namun secara tiba-tiba membuat pusingan secara mengejut dan berpatah balik ke arah Binjai dengan melanggar lampu isyarat merah.

“Pada masa sama datang sebuah lori membawa muatan tanah dari arah Binjai ke Bachok cuba mengelak tetapi lelaki terbabit merempuh sebelah kanan lori menyebabkannya terjatuh ke jalan raya dan cedera,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas motosikal menjumpai satu beg silang berisi dua bungkusan 17 botol dipercayai dadah jenis heroin dalam anggaran berat 85g.

“Polis juga menemui sebuah lagi beg kecil berisi tiga penyedut minuman berisi 29 pil kemerahan dadah jenis pil kuda. Keseluruhan dadah yang dijumpai bernilai RM34,435.

“Semakan mendapati suspek yang berasal dari Kampung Perupok, Bachok tersebut memiliki sembilan rekod lampau membabitkan kesalahan dadah termasuk mengedar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, setiap sebotol dadah jenis heroin dapat menghasilkan 200 tiub bagi kegunaan 200 penagih dalam satu-satu masa.

“Suspek aktif di kawasan Bachok dan semasa kejadian baru menerima bekalan dadah dipercayai untuk diedar bagi kegunaan port dadah.

“Suspek masih lagi dirawat di HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.