Pemuda Amanah desak insentif perkahwinan diteruskan

Danial (empat, kanan) ketika menyerahkan memorandum kepada Amirudin, di lobi Bangunan Dun Selangor, semalam.
Danial (empat, kanan) ketika menyerahkan memorandum kepada Amirudin, di lobi Bangunan Dun Selangor, semalam.
A
A
A
SHAH ALAM - Pemuda Amanah Selangor mendesak kerajaan negeri meneruskan pemberian insentif sebanyak RM500 kepada setiap pasangan belia yang baru berkahwin bagi mengurangkan beban kos sara hidup.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial Al- Rashid Haron berkata, pada pembentangan Belanjawan Selangor 2019 yang lalu, Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan tiada lagi Insentif Perkahwinan Belia (IPR 11) yang diperuntuk kerajaan negeri.

Program insentif perkahwinan kemudian digantikan dengan Kursus Perkahwinan dan Kekeluargaan Komprehensif bermula Januari tahun depan.

Menurutnya, golongan belia tidak harus diabaikan dan bantuan kepada pihak itu perlu terus dipertahankan. Katanya, ia penting berikutan kos keperluan asas untuk memulakan keluarga baru semakin meningkat.

Pemberian insentif sebanyak RM500 bagi setiap pasangan sangat membantu pasangan belia yang baru berkahwin untuk memulakan kehidupan.

"Menyedari hal ini, Pemuda Amanah Selangor wakili suara belia di negeri ini hantar memorandum kepada menteri besar, exco berkaitan dan dua wakil rakyat desak supaya Insentif Perkahwinan Belia diteruskan kepada rakyat Selangor yang layak.

"Jika program ini dapat diteruskan ia buktikan kerajaan Selangor pada hari ini priharin terhadap rakyat terutamanya golongan belia,"katanya selepas menyerahkan Memoradum memohon Insentif Perkahwinan Belia, Selangor dikekalkan ketika Sidang Dun Selangor semalam. Terdahulu, beliau berkata Selangor merupakan negeri model yang menjadi contoh kepada negeri lain di negara ini.

Banyak Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan Kerajaan Selangor sejak 2008, antaranya IPR 11.

Menurutnya, ketika awal pelaksanaannya insentif perkahwinan tersebut hanya memberi bantuan sebanyak RM200 kepada setiap pasangan sebelum dinaikkan kepada RM500 bermula tahun 2014.
Artikel Berkaitan:


"Kami sambut baik inisiatif Kerajaan Selangor dalam penjajaran semula Insentif Peduli Rakyat dengan tema Dari Pemberian kepada Pemberdayaan.

Bagaimanapun, kebajikan rakyat bawahan terutama golongan belia tidak harus diabaikan dan mestilah terus dipertahankan.

"Kami harap kerajaan negeri pertimbang kekalkan Insentif Perkahwinan Belia dan tambah baik program dengan program pemantapan institusi kekeluargaan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Negeri Selangor (LPPKN) serta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)," katanya.