Tosrin calon paling tua PRN Johor

Tosrin (tengah) beramah-mesra bersama penduduk ketika berkempen di Kampung Melayu Sengkang di sini pada Selasa. Gambar kecil: Tosrin
Tosrin (tengah) beramah-mesra bersama penduduk ketika berkempen di Kampung Melayu Sengkang di sini pada Selasa. Gambar kecil: Tosrin
A
A
A

KULAI - Pengalaman mentadbir kerajaan dan berkhidmat di kawasan merupakan keistimewaan utama calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi untuk kembali memenangi kerusi ditandinginya itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penyandang kerusi DUN berkenaan yang kini berusia 72 tahun dan merupakan calon paling paling tua pada PRN Johor itu juga nyata tidak menjadikan umur sebagai halangan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi jika kembali dipilih.

"Pastinya bertanding (menentang calon lebih muda) mencabar kerana saya merupakan calon paling tua...tetapi usia bukan pemisah, yang penting semangat dan iktikad untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Ini adalah jiwa raga saya selama ini. Saya menjalankan tanggungjawab dan seterusnya semua terletak di tangan rakyat untuk menilai dan memilih sendiri siapa yang layak untuk mewakili mereka," katanya pada Sinar Harian di sini, pada Selasa.

Pada PRN Johor, Tosrin daripada PN akan menyertai pertembungan empat penjuru di DUN Bukit Permai melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Calon lain ialah Datuk Mohd Jafni Md Shukor (BN), Mohd Azrol Ab Rahani (Muda) dan Mokhtar Abdul Wahab (Pejuang).

Tosrin berkata, cabaran besar pada PRN Johor berbeza berbanding siri pilihan raya yang lain kerana keadaan terkini yang masih belum mendapat gambaran jelas mengenai penerimaan golongan muda terhadap politik.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya telah bersedia bagi menangani perkara berkenaan selain berharap golongan muda boleh membuat keputusan berlandaskan kepada gerak kerja berbanding hanya terpengaruh dengan satu sumber sahaja.

"Saya bersedia (cabaran pengundi muda), kita tidak membelakangkan mana-mana golongan dan berkhidmat untuk semua golongan. Untuk DUN Bukit Permai ini saya telah lama di sini dan bukan calon yang suka-suka bertanding.

"Iltizam saya ialah menjadi wakil rakyat untuk rakyat, dan saya akan berikan sepenuhnya tenaga untuk menjadi suara dan terus mewakili penduduk di kawasan ini," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cabaran berkempen pada PRN Johor, Tosrin memberitahu, DUN Bukit Permai bermula agak lewat kerana disahkan positif Covid-19.

"Itu bukan bermakna saya akan memberi peluang mudah kepada pesaing lain. Ia bukan masalah besar kerana berpengalaman saya lama dalam politik. Saya kembali kepada kaedah lama iaitu pendekatan rumah ke rumah yang sering digunakan.

"Jadi boleh kata selepas sembuh sahaja, saya terus memulakan kempen di kawasan ini. Alhamdulillah penerimaan masyarakat baik dan kerja keras ini akan diteruskan sehingga hari pengundian nanti," katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my