Polis pertingkat kawalan, pantau kumpulan ekstrem

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan anggota selepas pemakaian pangkat sempena Majlis Sambutan Hari Penjara ke-229 di Maktab Penjara Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan anggota selepas pemakaian pangkat sempena Majlis Sambutan Hari Penjara ke-229 di Maktab Penjara Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Polis mempertingkatkan kawalan dan pemantauan khususnya terhadap kumpulan ekstrem susulan insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lepas.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, polis dan agensi keselamatan lain telah mengambil tindakan tertentu bagi mengelak kejadian seperti itu berlaku di negara ini.

“Langkah-langkah kawalan telah dan akan terus dibuat, (insiden itu) perlu dijadikan iktibar kepada masyarakat di negara ini.

“Jangan memperlekehkan apa saja agama lebih-lebih lagi di Malaysia ada pelbagai agama, ianya perkara sensitif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-229 bertemakan ‘Reformasi Penjara Masyarakat Sejahtera’ di Maktab Penjara Malaysia di sini hari ini.

Ditanya adakah anggota Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman akan ditempatkan di rumah ibadat, Muhyiddin berkata, perkara itu akan dilakukan sekiranya ada keperluan.

“Jika polis diberitahu ada kawasan panas atau merah (di mana-mana lokasi), langkah-langkah tertentu akan diambil,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, anggota polis diarah memantau kuil dan gereja di negara ini susulan insiden tembakan rambang di Christchurch yang dilapor mengorbankan 50 nyawa.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum menamatkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keputusan mengenai perkara itu akan ditentukan selepas siasatan oleh pihak berkuasa selesai.

UKSB adalah syarikat yang dikaitkan dengan sistem imigresen seperti eNTRI (electronic travel registration and information) yang dilaporkan mempunyai kelemahan dalam menguruskan pelancong China yang ingin ke Malaysia. - Bernama