3 ADUN PBM dalam blok kerajaan

Mohammad Zahir (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Persidangan Hari Wanita Antarabangsa d Pusat Konvensyen Ipoh, di sini pada Selasa.
Mohammad Zahir (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Persidangan Hari Wanita Antarabangsa d Pusat Konvensyen Ipoh, di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan diletakkan dalam blok kerajaan pada persidangan DUN Perak yang dijadualkan bermula 28 Mac depan.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai penyertaan ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng; ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam dalam PBM sebelum ini.

"Ketua Whip mereka ada YB Leong (Leong Cheok Keng). Mereka telah memaklumkan menyokong kerajaan sedia ada dan menyokong Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.

"Jadi mereka diletakkan sekali di dalam dalam blok kerajaan pada Sidang DUN akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Hari Wanita Antarabangsa d Pusat Konvensyen Ipoh, di sini pada Selasa.

Pada 9 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan tiga ADUN berkenaan sah menyertai PBM yang dilancarkan pada 21 Disember tahun lalu.

Sivasubramaniam dipilih sebagai Naib Presiden Kanan 2 PBM manakala Paul Yong dilantik sebagai Bendahari Agung PBM.

Sivasubramaniam dan Paul Yong sebelum ini merupakan ahli bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohammad Zahir berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadual berangkat bagi menyempurnakan perasmian pembukaan Sidang DUN Perak pada 28 Mac nanti.

Menurutnya, perjalanan Sidang DUN Perak kali ini akan dipendekkan daripada tujuh hari kepada tiga hari kerana pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Zahir menjelaskan DUN Perak sentiasa memberi peluang kepada golongan wanita untuk lebih banyak terlibat dalam institusi itu.

Beliau juga bersetuju jika sekiranya ADUN wanita dipilih sebagai pengerusi jawatankuasa DUN tetapi tertakluk kepada ADUN yang ada.

"Di dalam Dewan, saya lihat penglibatan ADUN-ADUN wanita sangat baik sekali. Kedua-dua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang memberikan idea yang baik," katanya.

Beliau turut memberi contoh Jawatankuasa Kajian-Kajian Enakmen membabitkan jawatankuasa kecil berkaitan teknologi maklumat (IT) yang dipertanggungjawabkan kepada ADUN Teja, Sandrea Ng dan ADUN Temengor, Salbiah Mohamed.

"Kita juga mempunyai seorang Setiausaha Dewan wanita yang telah mengangkat sumpah untuk mengelolakan Dewan," katanya.

DUN Perak mempunyai tujuh ADUN wanita daripada 59 ADUN yang ada.