Dua lelaki didenda RM75,000, penjara 14 hari sogok pegawai TNB

How Keong (berbaju putih) dan Tze Lee (t-shirt hitam) diiring pegawai SPRM di mahkamah, hari ini.
How Keong (berbaju putih) dan Tze Lee (t-shirt hitam) diiring pegawai SPRM di mahkamah, hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Dua lelaki didenda RM75,000 dan dihukum penjara 14 hari oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa atas pertuduhan menyogok pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) RM15,000 untuk melindungi aktiviti mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin di Negeri Sembilan.

Hakim, Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Goh How Keong, 50 dan Gan Tze Lee, 49, yang membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara 12 bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut dan turut memerintahkan wang hasil aktiviti haram itu berjumlah RM83,380 dilucut hak.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh bersama-sama telah secara rasuah memberikan suatu suapan wang tunai RM15,000 kepada seorang pegawai TNB sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Perbuatan itu dilakukan pada 5 November 2021, di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban.

Peguam Siew Yen Mee merayu kedua-dua anak guamnya diberi hukuman ringan atas alasan mereka mempunyai masalah keluarga.

"How Keong mempunyai penyakit darah tinggi dan mempunyai isteri serta empat anak yang memerlukan sokongan perbelanjaan harian.

"Manakala isteri Tze Lee pula perlu menjalani pembedahan sakit puan dan anak sulungnya pula perlu menjalani pembedahan segera selepas terbabit kemalangan tahun lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap setiap tertuduh kerana kes itu melibatkan kepentingan awam dan perlu diberi keutamaan berbanding kepentingan peribadi.

Selain itu beliau memohon harta berkaitan aktiviti haram dilakukan tertuduh berjumlah RM83,380 dilucut hak.

Mengikut fakta kes, tertuduh pada bulan Ogos 2021 hingga Januari 2022 telah menawar dan memberikan wang tunai secara rasuah kepada pegawai TNB Zon Selatan sebagai dorongan untuk melindungi aktiviti mencuri bekalan eletrik di beberapa premis di sekitar Negeri Sembilan yang menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin.

Kedua-dua tertuduh telah ditangkap pada 28 Februari lalu di rumah masing-masing.