Pengasas PSM mahu cabar keputusan PJS luluskan MSC

Mohd Yussof
Mohd Yussof
A
A
A

PENGASAS Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tan Sri Mohd Yussof Latiff bercadang untuk mencabar keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) yang meluluskan penubuhan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) mengikut saluran perundangan.

Menurut Yussof, tindakan itu dibuat selepas beliau melihat Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof meluluskan MSC menyebabkan permohonan PSM untuk menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) ditolak oleh badan induk sepak takraw Asia tersebut.

Malah katanya, tindakan PJS itu juga menyebabkan isu ini berlarutan yang akan menjejaskan reputasi sukan sepak takraw selepas PSM berhasrat untuk membawa isu tersebut ke tribunal bagi mendapat penyelesaian yang sewajarnya

Justeru katanya, perbincangan dengan peguam akan dilakukan dalam masa terdekat bagi menentukan tindakan selanjutnya.

“Datuk Seri Reezal Merican semasa dia menjadi menteri belia dan sukan sebenarnya telah selesaikan isu ini. Malah PJS sebelum ini juga telah bersetuju untuk selesai masalah tersebut yang mana mereka menyuruh PSM untuk meminda beberapa peraturan persatuan serta melakukan AGM dan ia telah dipatuhi.

“Kenapa selepas selesai buat apa yang disuruh tiba-tiba PJS meluluskan penubuhan entiti (MSC) itu. Saya anggap ia sebagai satu yang tidak masuk akal. Kenapa ketika Datuk Seri Reezal menjadi menteri mereka tidak luluskan penubuhan entiti itu.

“Sebab saya lihat, sekiranya PJS tidak meluluskan penubuhan MSC, saya kira PSM akan diterima semula sebagai ahli gabungan selepas mereka berjaya menyelesaikan denda yang diminta.

“Jadi sekarang saya dan peguam akan cuba mencabar keputusan PPS yang meluluskan penubuhan MSC di mahkamah. Perbincangan kini sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Yussof menyuarakan kebimbangan masalah itu akan diikuti persatuan sukan lain sekali gus akan memberi kesan negatif kepada arena sukan negara sekiranya isu penubuhan dua entiti itu tidak diselesaikan segera.

“Jika masalah ini tidak diselesaikan, saya tak terkejut sekiranya nanti ada sukan yang mempunyai dua entiti berbeza disebabkan ahli gabungan dari persatuan induk itu keluar dan buat persatuan baharu. Kalau perkara tersebut berlaku, saya rasa ia sudah tentu akan memberikan impak besar kepada sukan di negara ini,” katanya.