Balu, anak OKU buntu rumah bakal dilelong

Rohani (dua dari kiri) dan anaknya, Muhammad Syamael mendapat keprihatinan pegawai, anggota, veteran dan rakan arwah yang membuat kutipan bagi membantu menyelesaikan jumlah tunggakan rumah bagi mengelakkan dilelong.
Rohani (dua dari kiri) dan anaknya, Muhammad Syamael mendapat keprihatinan pegawai, anggota, veteran dan rakan arwah yang membuat kutipan bagi membantu menyelesaikan jumlah tunggakan rumah bagi mengelakkan dilelong.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang balu buntu memikirkan nasib diri dan anak lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) sebaik sahaja menerima notis lelongan rumah, Januari lalu.

Rohani Saat, 43, berkata, rumah yang menjadi tempat mereka berteduh di Taman Lembah Permai di sini dibeli pada 2004 ketika arwah suami masih berkhidmat sebagai anggota tentera, namun mempunyai banyak tunggakan akibat tidak mampu dibayar setelah tidak lagi bekerja.

Menurutnya, perkhidmatan suami selama 18 tahun sebelum berhenti akibat sakit buah pinggang tidak mampu menyelesaikan jumlah keseluruhan pinjaman.

"Suami berhenti kerja pada 2013, setahun selepas itu, saya mengambil alih tugas dan bekerja bagi menyara keluarga.

"Saya juga tidak mampu nak bayar rumah sebab selepas beberapa tahun, saya juga terpaksa berhenti kerja menguruskan suami yang sering keluar masuk hospital dan anak yang menghidap autisme," katanya.

Jelasnya, berita kematian suami pada Mei 2021 amat mengejutkan,di tambah pula perlu menguruskan anak, Muhammad Syamael Ajwad, 16, seorang diri sedangkan dirinya juga sering jatuh sakit.

"Saya tak dapat tidur malam, makan pun tak lalu memikirkan selepas ini kami nak tinggal di mana sedangkan anak juga memerlukan penjagaan eksklusif," katanya.

Rohani yang disahkan menghidap Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) tidak mampu melakukan kerja-kerja berat kerana sendi di pangkal paha turut terkesan akibat terjatuh semasa bekerja kira-kira lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Brigedier Jeneral Mohd Akib (tengah) dan Mejar Mohd Shuip (kanan) ketika hadir menyampaikan sumbangan atas tanda keprihatinan kepada Rohani.
Brigedier Jeneral Mohd Akib (tengah) dan Mejar Mohd Shuip (kanan) ketika hadir menyampaikan sumbangan atas tanda keprihatinan kepada Rohani.

"Doktor saran buat pembedahan tetapi risau memikirkan siapa nak jaga anak jika di tinggal lama-lama.

"Dia (Muhammad Syamael) tidak boleh berdiri dan berjalan, perlukan perhatian sepanjang masa, sekiranya ada perkara yang dirasakan tidak kena padanya, dia akan mengamuk dan pernah cederakan diri sendiri.

"Jarang sekali bawa dia keluar rumah kerana sukar untuk angkat dan uruskan tetapi, sekali sekala saya akan bawa dia keluar melihat pantai atau angin luar, dia memang seronok naik kereta," katanya.

Rohani bagaimanapun bernasib baik apabila masalah yang dihadapi sampai ke pengetahuan veteran tentera kemudiannya membawa perkara itu ke pihak atasan.

Pengerusi Persatuan Perwira Ex Ordnans, Mejar (B) Datuk Halim Hamid berkata, masalah dihadapi Rohani turut mendapat keprihatinan Pegawai Pemerintah 6 Kompeni Kor Ordnans Diraja (KOD) Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Mejar Mohd Shuip Hanafiah.

Menurut Mejar Mohd Shuip, bagi mendapatkan gambaran jelas, pasukan 6 KOD telah menghubungi Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi mengetahui jumlah tunggakan dan kaedah penyelesaian.

"Dengan bantuan dan sokongan pelbagai pihak termasuk Panglima 6 Briged, anggota, veteran dan rakan arwah, kita berjaya menjalankan kutipan dalam tempoh sebulan dan akan membuat pembayaran sebanyak RM25,021.77 kepada LPPSA bagi menyelesaikan tunggakan dan kos guaman," katanya.

Rohani turut menerima kehadiran Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Akib Yusof ke rumahnya bagi penyampaian sumbangan dan bersempena sambutan hari ulang tahun 6 Briged yang ke-52, Sabtu lalu.