KBS jejak bekas pemain bola sepak kebangsaan sakit jantung

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mencari bekas pemain bola sepak kebangsaan yang dilaporkan menderita sakit jantung dan terpaksa hidup gelandangan sementara di Kuala Lumpur untuk dibantu.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau telah mengarahkan kementeriannya termasuk agensi untuk membantu bekas pemain bola sepak tidak bernasib baik tersebut dalam apa juga cara sekali pun.

Tambahnya, sebelum ini beliau dimaklumkan bahawa Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) telah menyampaikan bantuan dari segi kos rawatan lain tetapi dalam kes terbaharu ini, beliau tidak menghubungi Yakeb.

“Saya telah arahkan KBS dan agensi untuk membantu beliau dalam apa-apa juga cara.

“Saya dimaklumkan sebelum ini Yakep,iaitu badan kebajikan yang menjaga kebajikan bekas atlet pernah menyampaikan bantuan dari segi kos rawatan lain tetapi dalam bab ini, pihak Yakep tidak dihubungi.

“Jadi kita perlu proaktif untuk ambil inisiatif, saya dan KBS akan mencari jalan sebaik mungkin untuk membantu,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, semalam.

Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar memberi jaminan pihaknya akan menghubungi dan mencari jalan untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan bekas pemain bola sepak kebangsaan tersebut.

“Dan sekiranya ada bekas-bekas atlet lain yang melalui perkara sama, kita akan cuba membantu,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang bekas pemain posisi pertahanan kelahiran Pulau Pinang hidup dalam keadaan serba kekurangan akibat masalah kewangan dan terpaksa menjadi gelandangan sementara ketika mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Artikel Berkaitan:


Lelaki berusia lewat 40-an itu ditemukan di kaki lima di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur sementara menunggu tarikh pembedahan memasukkan perentak jantung tahun ini.

"Simpanan semakin berkurangan, sebab itu lebih lapan bulan saya menjalani hidup sebegini setiap kali datang ke Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan di IJN, saya tidak mampu untuk menyewa hotel maka terpaksa tidur di kaki lima ini.

"Saya bukanlah penghuni tetap di kaki lima memandangkan saya cuma berehat dan tidur dalam tempoh tertentu sahaja (beberapa minggu dalam sebulan). Sejurus selesai sesi rawatan, saya akan pulang ke kampung, apapun inilah nasib saya sekarang," kata atlet berkenaan.