Pasangan kekasih, rakan ditahan edar dadah di Langkawi

Shariman (tengah) menunjukkan dadah dirampas dalam serbuan di Kampung Huma, mukim Ayer Hangat, di sini, pada Ahad. - Foto ihsan IPD Langkawi
Shariman (tengah) menunjukkan dadah dirampas dalam serbuan di Kampung Huma, mukim Ayer Hangat, di sini, pada Ahad. - Foto ihsan IPD Langkawi
A
A
A

LANGKAWI - Tiga individu termasuk sepasang kekasih ditahan disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di Kampung Huma, mukim Ayer Hangat, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, ketiga-tiga suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi lebih kurang jam 5 petang.

Beliau memberitahu, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan di bahagian luar rumah manakala dua lagi suspek yang merupakan pasangan kekasih berusia 27 dan 41 tahun ditahan dalam rumah itu.

“Hasil pemeriksaan secara menyeluruh ke atas rumah berkenaan, BSJN IPD Langkawi telah menemui dadah disyaki jenis heroin dan syabu.

“Susulan itu, kita merampas beg galas berwarna kelabu mengandungi 10 peket plastik lutsinar yang berisi ketulan ataupun serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 4.082 kilogram (kg) bernilai RM53,600," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, di sini, pada Isnin.

Shariman memaklumkan, pihaknya turut merampas beg plastik bercorak kartun berwarna putih hitam mengandungi 15 paket plastik lutsinar yang berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 775.96 gram bernilai RM20,000.

Beliau menjelaskan, keseluruhan rampasan dadah dalam serbuan berkenaan adalah dianggarkan berjumlah RM73,600 mengikut harga pasaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, pihak polis juga telah menyita sebuah kereta jenis Honda City dengan nilai sitaan RM35,000.

“Berdasarkan ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula 7 hingga 13 Mac depan,” katanya.

Jelasnya, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.