Kajian CBA mengenai CPTPP akan dibentang dalam masa terdekat

MOHAMED AZMIN
MOHAMED AZMIN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan membentangkan kajian Analisis Kos Faedah (CBA) bagi mengenal pasti impak dan kesan daripada penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk makluman jemaah menteri dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kajian itu selesai dilaksanakan pada Februari lalu.

Ujarnya, CBA itu bertujuan untuk mengenal pasti isu-isu berkepentingan kepada Malaysia bagi memastikan kesiapsiagaan kerajaan, industri dan rakyat bagi meraih manfaat yang optimum daripada penyertaan Malaysia dalam CPTPP.

“Selain itu, CBA ini juga mengesyorkan penyelesaian yang bersesuaian bagi menangani sebarang isu atau kos yang mungkin timbul hasil daripada pelaksanaan CPTPP.

“CBA ini turut mengambil kira kesan pandemik Covid-19 termasuk keupayaan dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara tanpa melanggar mana-mana peruntukan dan komitmen di bawah CPTPP,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) yang memintanya menyatakan bilakah analisis CBA mengenai CPTPP akan dibentangkan di Parlimen dan adakah ia termasuk kesan pandemik Covid-19 terhadap keupayaan kerajaan untuk mengambil semua langkah perlu yang mungkin melanggar mana-mana peruntukan dan komitmen CPTPP.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, bagi tujuan ketelusan, MITI akan memuat naik dokumen CBA ini ke laman sesawang kementerian untuk makluman pihak yang berkepentingan.

Selain itu katanya, MITI juga merancang untuk mengadakan sesi libat urus dengan pemegang-pemegang taruh yang berkaitan untuk berkongsi dapatan CBA bagi memastikan semua pihak yang berkepentingan memahami dengan jelas hak dan obligasi Malaysia di bawah Perjanjian CPTPP.

Artikel Berkaitan:

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat tujuh bab dalam CBA ini termasuk analisis sektoral yang terkandung di dalam Bab 5 (Implikasi ke atas 14 Sektor Ekonomi Utama), manakala dalam Bab 6 pula, ia meliputi dapatan tematik (Thematic Findings) bagi lapan aspek yang terkandung dalam Perjanjian CPTPP,” katanya.