Hadkan jawatan KM dua penggal

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Sidang DUN di Melaka hari ini meluluskan usul untuk menghadkan hanya tempoh dua penggal bagi perkhidmatan setiap Ketua Menteri.

Usul tersebut dicadangkan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, bagi menerapkan amalan tadbir urus yang baik dan telus dalam kalangan ADUN yang dilantik untuk memegang jawatan berkenaan kelak.

Selain itu, menurutnya, ia juga bakal membentuk sebuah institusi pentadbiran yang mewajibkan pembaharuan dibuat khususnya dalam kalangan pemimpin kerajaan yang dilantik sebagai ketua pentadbir kerajaan.

Jelas beliau, langkah tersebut juga bagi meningkatkan keberkesanan semak dan berimbang (check and balance) serta mencegah penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pentadbir.

Katanya, pada PRU14 lalu, PH negeri sudah menyatakan hasrat untuk membawa pembaharuan dan reformasi ke dalam sistem politik negara ini sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

"Satu daripada pembaharuan dan reformasi politik yang dijanjikan adalah dengan menghadkan tempoh lantikan atau tempoh memegang jawatan tertinggi di peringkat negeri seperti jawatan Ketua Menteri.

"Kami percaya bahawa dengan menghadkan tempoh lantikan ini kepada dua penggal akan dapat meningkatkan keberkesanan proses semak dan berimbang, sekali gus mencegah penyalahgunaan kuasa," katanya.

Usul berkenaan dibentangkan ketika Persidangan Pertama, Penggal Kedua DUN ke-14 di Seri Negeri di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

November lalu, DUN Pulau Pinang meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2018 untuk menghadkan tempoh lantikan Ketua Menteri selama dua penggal.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri komited untuk menunaikan janji dalam manifesto berkenaan dan bercadang mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan Negeri menerusi Perkara 7, Fasal (2)(a).

Katanya, bagaimanapun, hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana untuk meminda Perlembagaan Negeri menerusi RUU memerlukan undian dua pertiga daripada ADUN, seperti dinyatakan menerusi Perkara 36, Fasal (3).

"Kami sedar bahawa sukar untuk mendapatkan undian dua pertiga dalam kalangan ahli Dewan yang bersetuju menyokong RUU berkenaan kerana bilangan keahlian antara kerajaan dan pembangkang tidak jauh bezanya.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan pindaan RUU di masa akan datang sebaik sahaja memiliki majoriti dua pertiga keahlian di Dewan ini," katanya.