Piala FA: BRM bakal cabar JDT pada pusingan pertama

BRM FC mengatasi Tun Razak City FC 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada aksi kelayakan pada malam Ahad. - Foto FB BRM FC Kuala Kangsar
BRM FC mengatasi Tun Razak City FC 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada aksi kelayakan pada malam Ahad. - Foto FB BRM FC Kuala Kangsar
A
A
A

PASUKAN amatur BRM FC bakal mengharungi cabaran terbesar dalam pusingan pertama Piala FA 2022 apabila bakal mencabar gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 13 Mac.

Ia selepas pasukan Liga M3 dari Kuala Kangsar itu, berjaya mengatasi Tun Razak City FC 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada aksi kelayakan pada malam Ahad.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kelima, namun Khairul Asyraf Sahizah muncul wira kebangkitan BRM apabila menjaringkan dua gol, masing-masing pada minit ke-31dan 84 untuk membawa pasukan itu ke pusingan pertama.

Pada satu lagi aksi kelayakan petang tadi, Bukit Tambun FC turut layak ke pusingan pertama selepas menyingkirkan Imigresen FC 2-1 selepas masa tambahan di Stadium Negeri Pulau Pinang.

Pasukan tuan rumah mendahului seawal minit ketujuh menerusi Daniel Arifin, namun Imigresen berjaya menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian menerusi jaringan Fauzi Abdul Latif.

Selepas aksi terikat lebih 90 minit, Bukit Tambun akhirnya memastikan slot ke Piala FA menjadi miliknya apabila Saiful Basir menjaringkan gol yang dinanti-nantikan pada minit ke-118.

Bukit Tambun bagaimanapun, bakal mengharungi cabaran sengit apabila telah diundi berdepan pasukan Liga Super Penang FC pada Jumaat.

Saingan Piala FA kali ini menyaksikan penyertaan 34 pasukan, terdiri daripada 12 pasukan Liga Super, tujuh pasukan Liga Premier dan 15 pasukan Liga M3 yang merebut untuk kejuaraan.

Artikel Berkaitan:

Selain empat pasukan Liga M3 yang beraksi pada Ahad, 11 lagi pasukan dari divisyen ketiga itu mendapat 'bye' untuk layak secara automatik ke pusingan pertama, iaitu PIB, Tok Janggut Warriors, Manjung City, Perlis United, Sains, Kijang Rangers, Langkawi City, Harini FT, Kinabalu Jaguar, Ultimate dan Respect.

Saingan kalah mati itu kembali pada tahun ini, selepas dibatalkan buat dua musim berturut-turut kerana pandemik Covid-19. Kedah merupakan juara pada edisi 2019. - Bernama