Lori kontena ancam nyawa penduduk

Penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Peria, Sahom di sini terpaksa membahayakan nyawa mereka melalui jalan berkenaan setiap hari. (Gambar kecil: Bah Wel)
Penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Peria, Sahom di sini terpaksa membahayakan nyawa mereka melalui jalan berkenaan setiap hari. (Gambar kecil: Bah Wel)
A
A
A

KAMPAR - Kira-kira 100 penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Peria, Sahom di sini berdepan risiko dihempap kenderaan berat kerana lori kontena yang terjunam dalam kejadian kemalangan pada 3 Mac lalu masih belum dialihkan.

Wakil penduduk, Bah Wel Alang Jawa, 60, berkata, hanya motosikal yang boleh melalui jalan itu kerana sebahagiannya terhalang oleh kenderaan berat itu.

Menurutnya, jalan berkenaan merupakan satu-satunya jalan ke kampung tersebut malah penduduk dan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa mengambil risiko untuk keluar ke pekan dan sekolah.

"Mujur sekarang sekolah masih bercuti. Keadaan ini menyebabkan ramai yang tidak boleh keluar terutama mereka yang memandu kereta atau lori," katanya ketika ditemui pemberita di Jalan Kampung Sungai Peria, Sahom, di sini pada Ahad.

Menurutnya, peniaga dan kontrak pembinaan kini tidak boleh melalui jalan itu kerana kenderaan mereka tidak dapat keluar dari jalan tersebut sejak empat hari lalu.

Bah Wel yang juga Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) itu berharap ada pihak segera mengalihkan kenderaan tersebut sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Kampar, Mohd Azlan Helmi berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk sebelum ini dan tidak menyangka lori kontena tersebut masih belum dialihkan sejak kemalangan berlaku pada 3 Mac lalu.

Beliau difahamkan pihak pengurusan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) cuba menarik keluar kenderaan terbabit tetapi tidak berjaya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kampar serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah dipanjangkan masalah ini untuk diselesaikan segera.

"Pagi tadi (Ahad), saya bersama pegawai daerah dan pegawai APM meninjau keadaan di lokasi dan meminta lori kontena itu dialihkan segera kerana bimbang menimpa pengguna jalan raya di sini.

"Kita berharap pihak berkaitan termasuk PLUS segera mengambil tindakan kerana ia sangat serius melibatkan ancaman nyawa. dan tidak mahu ada kejadian tidak diingini baru tindakan diambil," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azlan meminta agensi berkaitan meletakkan tanda amaran dan peralatan keselamatan bagi memastikan penduduk sentiasa berwaspada ketika melalui jalan tersebut.

Pada 3 Mac lalu, sebuah lori kontena dengan muatan batu kapur terjunam ke dalam gaung setinggi 10 meter dalam kejadian kemalangan di KM306 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, di sini.

Kejadian kemalangan itu juga menyebabkan laluan ke Kampung Orang Asli Sungai Peria, Sahom, di sini terhalang kerana bahagian kepala lori menutup terowong di laluan tersebut.