Perintah reman dua lelaki disyaki sogok pegawai TNB disambung

Laporan Sinar Harian pada 1 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian pada 1 Mac lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Perintah reman terhadap dua lelaki yang disyaki terbabit dengan sindiket melombong bitcoin dan menyogok pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menutup kegiatan itu di beberapa premis di negeri ini disambung dua hari lagi bermula Isnin.

Reman terhadap kedua-dua suspek yang berusia 49 dan 50 tahun itu sepatutnya berakhir pada Ahad tetapi dilanjutkan sehingga 8 Mac depan selepas permohonan dibuat oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim

Perintah untuk melanjutkan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Mas Azmimin Ahmad di Mahkamah Khas Reman Seremban, pada Ahad.

Kedua-dua suspek diwakili Peguam Veni Paul daripada Yayasan Bantuam Guaman Kebangsaan (YBGK).

Difahamkan, kedua-dua suspek menawarkan dan memberikan wang jumlah keseluruhan RM75,000 secara rasuah kepada pegawai TNB Zon Selatan (Negeri Melaka/Johor/Negeri Sembilan) sejak Ogos 2021 hingga Januari lalu.

Ia sebagai dorongan untuk melindungi aktiviti mencuri bekalan eletrik di beberapa premis sekitar Negeri Sembilan yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.

Suspek sebelum imi ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada jam 3.30 petang, Isnin lalu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan: