121 pengunjung pusat hiburan dikompaun langgar SOP

Antara pengunjung di sebuah pusat hiburan di Cheras dikompaun kerana melanggar SOP.
Antara pengunjung di sebuah pusat hiburan di Cheras dikompaun kerana melanggar SOP.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengeluarkan kompaun RM121,000 kepada 121 pengunjung pusat hiburan di Cheras Business Centre di sini, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya turut menahan empat lelaki dalam serbuan pada jam 12.10 tengah malam.

"Kita menahan seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing kerana disyaki menjalankan perniagaan, menjual minuman keras tanpa lesen, menggajikan pekerja asing dan bekerja tanpa permit yang sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Muhammad Idzam berkata, pihaknya turut merampas dua unit mikrofon, satu unit pembesar suara dan lapan botol minuman keras pelbagai jenama.

"Kesemua suspek yang ditangkap berusia 27 hingga 42 tahun itu tidak mempunyai rekod lampau.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 55B/6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Muhammad Idzam turut menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang berlaku.

"Maklumat itu boleh disalurkan melalui Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 0083, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan untuk tindakan segera," katanya.

Artikel Berkaitan: