Dua lelaki ditahan bantu siasatan kebakaran 52 kenderaan

Laporan Sinar Harian mengenai kebakaran di PPR Intan Baiduri pada Jumaat. (Gambar kecil: Beh Eng Lai)
Laporan Sinar Harian mengenai kebakaran di PPR Intan Baiduri pada Jumaat. (Gambar kecil: Beh Eng Lai)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kebakaran 52 kenderaan yang diparkir di sebuah blok di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kedua-dua suspek ditahan pada jam 2.30 petang dan 6.30 petang hari yang sama.

Menurutnya, suspek berusia 31 dan 39 tahun ditahan di PPR Intan Baiduri dipercayai mempunyai kaitan berhubung kes kebakaran berkenaan.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 31 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul telah menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 4.21 pagi.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.56 pagi dan kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa.

Sebanyak 48 motosikal dan empat kereta telah musnah terbakar dengan anggaran kerugian hampir mencecah RM300,000.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil memberi keterangan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Baldev Singh di talian 012-4806062 atau bilik gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.