Kembara Riuh Keluarga Malaysia beri manfaat kepada penggiat seni

Annuar (empat, kiri) merasmikan Riuh Keluarga Malaysia di Arena Warna, Ayer Hitam, pada Jumaat. Foto Bernama
Annuar (empat, kiri) merasmikan Riuh Keluarga Malaysia di Arena Warna, Ayer Hitam, pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kembara Riuh Keluarga Malaysia yang sebelum ini tertumpu di kawasan Lembah Klang, melebarkan sayap ke-14 lokasi seluruh negara sepanjang tahun ini, untuk memberi manfaat yang meluas kepada penggiat industri seni terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan telah mengiktiraf industri kreatif sebagai salah satu industri strategik yang berimpak tinggi, dan akan diberi tumpuan khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Kembara Riuh Keluarga Malaysia di seluruh negara akan menjadi satu platform bagi menyampaikan maklumat dan informasi mengenai ekonomi digital negara, selain menggerakkan para penggiat seni untuk beralih dari hobi, menjadi kegiatan bersifat industri yang boleh menjana pendapatan, lalu secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Annuar berkata, Riuh Keluarga Malaysia merupakan platform yang bertujuan membangunkan ekosistem kreatif tempatan, dengan menghubungkan jenama serta usahawan kreatif, pencipta dan artis dengan komuniti.

Riuh ialah usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk memulihkan industri kreatif, yang dianjur bersama jabatan dan agensi di bawah KKMM iaitu MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan disokong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Gelagat pengunjung hadir perasmian Riuh Keluarga Malaysia yang dirasmikan oleh Annuar di Arena Warna, Ayer Hitam pada Jumaat. Foto Bernama
Gelagat pengunjung hadir perasmian Riuh Keluarga Malaysia yang dirasmikan oleh Annuar di Arena Warna, Ayer Hitam pada Jumaat. Foto Bernama

Edisi pertama Riuh Keluarga Malaysia bertema ‘Warna-warni Malaysia’ telah dilancarkan semalam di Ayer Hitam, Johor yang dikenali sebagai 'Riuh Ek! bersama unifi', menampilkan dialek tempatan dan Telekom Malaysia (TM) sebagai penaja utama.

Annuar berkata, penganjuran siri pertama tahun ini juga, bertepatan dengan potensi negeri Johor yang memiliki nilai budaya dan warisan, yang kaya dengan seni kreatif anak tempatan dan Ayer Hitam pula tersohor sebagai Bandar Seramik kerana kelebihan sumber tanah liat berkualiti tinggi di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

"Malah Ayer Hitam bukan sahaja terkenal dalam kalangan warga tempatan, tetapi juga menjadi tarikan seluruh negara. Di sini juga bertapaknya seni budaya Ghazal, Kuda Kepang, Zapin, Inang, Opera Cina Hokkien dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata, siri Kembara Riuh Keluarga Malaysia akan disusuli pada setiap bulan di negeri-negeri lain seluruh negara, sebagai pentas mempromosikan kegiatan industri kreatif selain menggalakkan rakyat dan masyarakat setempat menyertai program ekonomi digital.

Annuar juga berkata, pembangunan ekonomi digital di Johor akan mendapat capaian internet yang lebih baik, susulan kerja-kerja infrastruktur telekomunikasi sedang dipertingkatkan, bagi memastikan negeri itu mendapat jaminan kualiti internet yang baik.

Beliau berkata, kerajaan akan menambah jalur fiber optik yang menelan perbelanjaan sebanyak RM934.5 juta, untuk menjadikan Johor sebagai negeri yang mempunyai rangkaian fiber optik menyeluruh.

"Usaha naik taraf mutu infrastruktur telekomunikasi bagi negeri Johor di bawah program Pelan Jaringan Digital Negara (Jendela), sebanyak RM589 juta telah dibelanja, untuk memastikan rakyat Johor bergerak maju dan mendahului bukan sahaja bagi industri kreatif, tetapi juga kegiatan ekonomi digital,” katanya. - Bernama