Kawasan keselamatan ESSZone akan disemak semula

 Datuk Idris Abdullah
Datuk Idris Abdullah
A
A
A

KOTA KINABALU - Kawasan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) akan disemak semula bagi meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan terutama di kawasan perairan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Beliau berkata, proses semakan semula itu akan melibatkan perolehan maklum balas serta pandangan semua agensi keselamatan terlibat, dan semakan ESSZone itu mungkin melibatkan peluasan kawasan perairan yang pada masa ini berada di bawah perintah berkurung bermula jam 6 petang hingga 6 pagi.

"Kita akan mengambil kira pandangan dari segala aspek sama ada daripada Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah dan pihak berkuasa lain seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

"Pihak keselamatan juga sentiasa peka dan bersiap siaga terhadap isu-isu yang boleh menimbulkan provokasi daripada pihak yang berkenaan terhadap keamanan negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Sabah kepada Asisten Komisoner Peter Umbuas daripada Asisten Komisoner Ang Seow Aun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah pada Jumaat.

Selain itu, majlis turut menyaksikan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Sabah kepada Ang daripada Asisten Komisoner Abdul Rahman Kassim dan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah kepada Abdul Rahman daripada Asisten Komisoner Jasmin Hussin. - Bernama

Artikel Berkaitan: