PRN Johor: Khaled persoal manifesto PN

Mohamed Khaled. Foto Bernama
Mohamed Khaled. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempersoalkan manifesto Perikatan Nasional (PN) yang tidak mengemukakan sebarang tawaran bagi mewujudkan kestabilan politik terutama dalam amalan lompat parti.

Menurut Mohamed Khaled, ini sangat berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang menyatakan dengan jelas dalam manifesto untuk memerangi amalan lompat parti.

Beliau yang juga Pengerusi BN Pasir Gudang berkata, gabungan tersebut nekad mengusahakan Enakmen Anti Lompat parti.

"Satu perkara yang mendatangkan kemarahan dan rasa jelik rakyat ialah amalan lompat parti. Ia antara punca pertukaran demi pertukaran kerajaan serta ketidakstabilan politik.

"Malangnya, dalam manifesto mereka untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, PN tidak langsung mengemukakan sebarang tawaran bagi memastikan wujud kestabilan politik terutama dalam soal amalan lompat parti.

Jadi, apakah pendirian PN terhadap mereka yang melompat parti? Apakah cadangan dan strategi PN untuk menghentikan amalan tidak beretika ini," demikian persoalan beliau kemukakan dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Bekas Menteri Besar Johor itu beranggapan, cadangan mewujudkan kestabilan dengan memperkenal undang-undang anti lompat parti 'tidak menarik' kerana PN memang merancang terus memancing Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas PRN Johor.

"Tabiat 'memancing' memang sukar dibuang," katanya secara sinis.

Artikel Berkaitan: