Muda nafi ceroboh aset GLC Johor

Rasid memaklumkan Muda telah menyewa premis berkenaan secara sah daripada pihak yang didakwa sebagai pemilik premis.
Rasid memaklumkan Muda telah menyewa premis berkenaan secara sah daripada pihak yang didakwa sebagai pemilik premis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menafikan dakwaan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Johor berhubung pencerobohan dilakukan parti itu terhadap aset milik syarikat berkenaan.

Calon Muda bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Rasid Abu Bakar berkata, sebaliknya parti telah menyewa premis berkenaan secara sah daripada pihak yang didakwa sebagai pemilik premis.

"Muda menyewa rumah kedai (premis berkenaan) pada 26 Februari daripada seorang yang kami ketahui sebagai tuan kedai, bagi tujuan bilik gerakan Muda untuk kempen di DUN Larkin.

"Menurut surat dikeluarkan oleh pemilik premis berkenaan, Muda juga dibenarkan untuk menyewa premis tersebut sebagai bilik gerakan politik," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan PIJ Holdings dalam satu kenyataan memaklumkan syarikat telah membuat laporan polis terhadap Muda kerana didapati menceroboh aset milik syarikat iaitu Ikubator Usahawan Taman Perbadanan Islam Stulang Baru, di sini bagi dijadikan bilik gerakan politik.

Dalam kenyataan berkenaan, PIJ Holdings juga memaklumkan premis berkenaan juga tidak boleh disewakan kepada orang lain.

Mengulas lanjut, Rasid berkata, Muda juga tidak menerima sebarang perkara yang dibangkitkan oleh pihak yang menyewakan premis berkenaan ketika serahan kunci pada hari yang sama (26 Februari).

"Kami juga ingin menegaskan bahawa setelah seminggu berkempen, Muda tidak menerima notis, aduan atau surat daripada tuan kedai atau mana-mana pihak yang menyatakan kami telah menceroboh.

Artikel Berkaitan:

"Malah dalam tempoh sama, kamu juga telah dikunjungi polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tiada sebarang masalah dibangkitkan," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pada Khamis pihaknya menerima makluman pengosongan premis daripada pihak polis tanpa sebarang notis.

"Kehadiran polis pada 3 Februari meminta kami mengosongkan premis tanpa sebarang notis merupakan suatu taktik menekan kami dan mengganggu kempen Muda di Larkin.

"Kami tidak terkesan dengan taktik seperti ini dan akan terus bekerja untuk Larkin," katanya.