PRN Johor: Calon BN DUN Penggaram positif Covid-19

Ter Hwa Kong
Ter Hwa Kong
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Ter Hwa Kong disahkan positif Covid-19 setelah menerima keputusan ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) pada Jumaat.

Sehubungan itu, Hwa Kong dalam satu kenyataan berkata, semua kempen fizikal melibatkannya dibatalkan serta- merta.

Menurutnya, selepas mengetahui menjadi kontak rapat kepada seseorang yang disahkan positif Covid-19, beliau dan ahli pasukan kempennya menjalani ujian saringan dan kuarantin kendiri.

"Saya turut membuat keputusan segera untuk membatalkan semua program yang telah dijadualkan serta-merta,” katanya sambil menambah akan menjalani prosedur susulan seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau turut memohon maaf kepada semua pihak terkesan dan meminta individu yang menjadi kontak rapat dengannya pada beberapa hari lepas supaya menjalani ujian saringan Covid-19, sekiranya mengalami gejala.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kerusi DUN Penggaram menyaksikan saingan empat penjuru antara Ter dan Sia Wee Yet (PN), Gan Peck Cheng (PH) serta Zahari Osman (Bebas).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, DUN Penggaram dimenangi Gan daripada DAP selepas mengalahkan calon BN, Kang Ben Kuan dengan majoriti 17,205 undian. - Bernama

Artikel Berkaitan:


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my