Mahu segerakan pembinaan rumah generasi kedua Felda

Mohd Hasnolhadi (berdiri, dua dari kiri) menyantuni pengundi di kedai makan. Sumber Foto: Mohd Hasnolhadi
Mohd Hasnolhadi (berdiri, dua dari kiri) menyantuni pengundi di kedai makan. Sumber Foto: Mohd Hasnolhadi
A
A
A

KOTA TINGGI - Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas akan memberikan perhatian terhadap usaha menyegerakan pembinaan 3,245 rumah milik generasi kedua Felda di kawasan tersebut.

Calon daripada Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau memandang serius kesukaran dihadapi generasi kedua di enam kawasan Felda di DUN tersebut bagi memulakan pembinaan rumah masing-masing.

“Generasi kedua yang terlibat dengan masalah itu dari Felda Aping Timur, Felda Aping Barat, Felda Simpang Waha, Felda Bukit Waha, Felda Bukit Easter dan Felda Tenggaroh Selatan 1.

“Mereka tidak boleh membina kediaman masing-masing kerana ketiadaan infrastruktur di tempat mereka khususnya jalan, longkang serta bekalan air dan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, antara janji terkandung dalam Ikrar PN yang diumumkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah memastikan projek perumahan generasi baharu Felda yang sedang dibaik pulih dapat disiapkan segera.

Muhyiddin turut menyatakan projek perumahan generasi baharu Felda yang terbengkalai dan berpotensi untuk dibaik pulih juga akan diselamatkan sekiranya partinya dipilih bagi menerajui kerajaan negeri Johor.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri itu berkata, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu Felda bagi tujuan pembinaan rumah oleh generasi baharu Felda akan ditetapkan pada kadar RM1 sekaki persegi.

Mengulas lanjut, Mohd Hasnolhadi berkata, untuk rekod, kesemua 3,245 lot tersebut telah diserahkan kepada pemiliknya dari kalangan generasi kedua Felda, sejak tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan PN juga akan memperhebatkan penyertaan komuniti Felda dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan.

“Saya yakin semua ikrar ini boleh ditunaikan dengan kebijaksanaan kepimpinan PN termasuk menjalin dan memperkukuhkan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan serta Felda,” ujarnya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my