PRN Johor: SPR keluarkan 36,729 kertas undi pos

SPR sudah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada mereka yang berhak dan layak untuk mengundi secara pos pada PRN Johor.
SPR sudah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada mereka yang berhak dan layak untuk mengundi secara pos pada PRN Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sudah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada mereka yang berhak dan layak untuk mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos pada 1 hingga 3 Mac dijalankan petugas pilihan raya di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kesemua 36,729 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 28,421 kategori Borang 1A melibatkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera serta petugas media.

"Ini termasuk 7,814 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), 118 kategori Borang 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dan 376 pengundi tidak hadir (PTH) di luar negara.

"Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, prosedur itu dijalankan mengikut peruntukan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi PRU Dewan Negeri Johor Ke-15.

SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2).

Suruhanjaya itu mengingatkan mereka supaya segera mengembalikan kertas undi kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5 petang iaitu pada hari mengundi iaitu 12 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya dalam laman media sosial," kata SPR lagi.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my