Muafakat Nasional masih hidup, belum ada 'batu nisan'

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada ceramah umum di DUN Simpang Jeram sempena PRN Johor di Bilik Gerakan PN Simpang Jeram malam tadi. - Foto Bernama
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada ceramah umum di DUN Simpang Jeram sempena PRN Johor di Bilik Gerakan PN Simpang Jeram malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Pas menegaskan bahawa Muafakat Nasional (MN) iaitu gagasan kerjasama penyatuan ummah antara parti itu dan UMNO masih lagi ada.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyifatkan MN masih belum mempunyai batu nisan dan tiada siapa mengisytiharkannya ditamatkan.

Beliau juga memberi gambaran walaupun MN secara prinsipnya tidak dilihat seperti hidup tetapi ia masih lagi belum mati.

“Tak masuk ICU (unit rawatan rapi) lagi. Dalam kabinet kita bersama, ketiga-tiga parti, tidak ada hal. Maknanya dalam mesyuarat kabinet, kita dokong kepimpinan Perdana Menteri.

“Kita buat kerja untuk rakyat, tak kira parti. Dalam konteks ini, perhubungan sangat baik.

“Kita pun turun dalam keadaan kempen, memperkasakan agenda parti masing-masing. Kita bawa agenda Perikatan Nasional (PN),” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan ceramah kelompok di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Khamis.

Turut sama dalam sidang akhbar terbabit adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini menganggap MN yang digagaskan oleh UMNO dan Pas kini sudah tiada.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan, perkara itu tidak perlu diselindung lagi.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, parti itu akan melihat hala tuju MN.

“Selepas PRN Johor kita akan tengok. Sentiasa akan ada penilaian,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut memaklumkan bahawa sudah beberapa bulan mesyuarat jawatankuasa bersama MN di peringkat induk tidak diadakan.

“Di peringkat jawatankuasa induk tiada (tetapi) hubungan peribadi ada. Saya selalu berhubung juga dengan pimpinan UMNO. Tapi dalam konteks MN, mesyuarat induk tak berjalan,” katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my