Muafakat Nasional belum 'berkubur': Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan gagasan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama UMNO pada September 2019 masih kukuh dan belum berkubur.

Beliau menjelaskan, tiada perbalahan antara Pas dan UMNO sebagaimana dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan hala tuju gagasan itu kini di penghujung.

"Insya-ALLAH boleh diselamatkan, masih lagi hidup dan tidak dikuburkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Pas ke-70 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi menafikan kenyataannya bahawa UMNO melanggar piagam MN yang dikeluarkan sebelum ini ditujukan kepada parti tersebut.

Beliau mengatakan ia tidak bersandarkan kepada parti sebaliknya ditujukan kepada individu dalam parti namun enggan mendedahkan individu yang dikaitkan dengan kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, kedua-dua pihak (Pas dan UMNO) akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat.

"Hubungan Pas dan UMNO berjalan seperti biasa dan masih baik," katanya.

Kerjasama antara UMNO dan Pas sebelum ini dilihat semakin goyah berikutan kenyataan kedua-dua kepemimpinan parti yang seolah-olah menyalahkan antara satu sama lain termasuk tuduhan Pas yang kononnya UMNO melanggar piagam MN.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:PAU jadi medan tentukan hala tuju Muafakat Nasional