Saksi kes rasuah Bung Moktar, Zizie Izette akui beri keterangan bercanggah

Bung Moktar (kanan) dan Zizie Izette (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual, tujuh tahun lalu.
Bung Moktar (kanan) dan Zizie Izette (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual, tujuh tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar mengakui keterangannya di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, bercanggah dengan rakaman ketika siasatan, namun ia bukan semata-mata mahu menyelamatkan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette.

Saksi pendakwaan ke-25 yang juga saksi utama itu berkata demikian ketika perbicaraan kes rasuah pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual, yang dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya, di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Meskipun keterangannya di mahkamah bercanggah dengan keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), wanita itu mengakui bahawa ia adalah sesuatu yang serius.

Semasa soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria, Norhaili mengakui ketika berada di pejabat SPRM, dia dalam keadaan waras.

"Saya bersetuju, saya tidak pernah dipaksa, diugut dan dipukul untuk memberi keterangan di sana," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How bahawa dia berbohong kepada mahkamah, Norhaili berkata tidak setuju.

Semasa prosiding, Chin How berkata, pendakwaan memohon kepada mahkamah supaya menganggap saksi itu sebagai saksi belot dan mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memeriksa balasnya.

Beliau berkata, mahkamah perlu melihat percanggahan keterangan saksi itu di mahkamah dalam prosiding lalu dengan lima rakaman percakapan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula 2016 hingga 2018.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia membabitkan lima rakaman percakapan saksi itu di Pejabat SPRM Putrajaya pada 22 dan 28 Jun, 19 Julai, 4 Oktober 2016 dan 10 Disember 2018.

“Antara percanggahan itu ialah saksi menyatakan Bung Moktar tidak pernah meminta RM3.5 juta pada 4 Mei 2015 sedangkan ketika rakaman percakapan pejabat SPRM, Bung Moktar ada meminta rasuah.

“Selain itu, dalam prosiding lalu, saksi itu juga menyatakan RM2.8 juta diberi kepada Zizie Izette adalah wang pengenalan sebaliknya dalam rakaman percakapan di pejabat SPRM, beliau menyatakan wang itu adalah rasuah,” katanya.

Berikutan itu beliau berkata, pendakwaan mengemukakan permohonan untuk menyoal balas saksi itu, mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950.

Bagaimanapun, peguam, M Athimulan membantah permohonan pendakwaan yang menganggap Norhaili sebagai saksi belot.

Ini kerana katanya, Norhaili sudah memberi kerjasama kepada pendakwaan dan pembelaan di sepanjang perbicaraan berlangsung.

“Saksi ke-25 itu tidak menunjukkan bahawa dia mengelak untuk menjawab mana-mana soalan yang dikemukakan, beri kerjasama yang baik dan mengaku tidak menipu, jadi adakah itu menunjukkan bahawa dia adalah saksi belot?” katanya.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, hakim Rozina membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas Norhaili.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 64, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette, 44, di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette, atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Perbicaraan bersambung 18 Mac ini.