Kelantan benarkan Mak Yong jika patuhi syariah

Persembahan wayang kulit. - Foto: Sumber Tourism Malaysia
Persembahan wayang kulit. - Foto: Sumber Tourism Malaysia
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak mempunyai halangan untuk membenarkan kesenian Mak Yong dipersembahkan kepada umum sekiranya kesenian itu dipastikan mematuhi syariah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Negeri Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata dalam konteks itu, penilaian dilakukan oleh Majlis Kebudayaan Kelantan yang dianggotai oleh mufti dan ulama.

"Kita tiada halangan (kita) membenarkan kesenian itu dipersembahkan jika ia tidak bertentangan dengan syariah," katanya dalam sesi soal jawab pada Sidang DUN Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Abd Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) berhubung langkah kerajaan Kelantan dalam memartabatkan seni warisan di negeri ini.

Minggu lepas pelapor Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Karima Bennounce menggesa Kelantan menarik balik larangan persembahan Mak Yong, wayang kulit dan lain-lain bentuk persembahan tradisional Melayu bagi memastikan kesenian dan budaya itu terus hidup.

Pas ketika mengambil alih negeri ini pada 1990 bertindak mengharamkan persembahan tradisional yang dianggap mengandungi unsur bertentangan Islam.- Bernama

Artikel Berkaitan: