Rujuk polis jika mahu anjur himpunan konflik Ukraine-Rusia

Ashari
Ashari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang berhasrat membuat perhimpunan susulan konflik Ukraine dan Rusia di hadapan Kedutaan Rusia di Jalan Ampang dinasihatkan supaya memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, langkah itu bagi membolehkan pihaknya mengkoordinasi perhimpunan berkenaan.

"Bukan mahu beri mereka 'lesen' tetapi polis ingin membantu melancarkan perhimpunan itu dengan memberi garis panduan yang perlu mereka patuhi," katanya ketika ditemui di Setapak Jaya, pada Khamis.

Tambah Ashari, antara garis panduan itu adalah termasuk kehadiran individu yang terhad, berkumpul tidak lebih 20 minit.

"Selain itu, mereka perlu menjaga penjarakan fizikal serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lain yang sedang berkuatkuasa ketika ini,” katanya.

Ashari berkata, pihaknya turut memantau perhimpunan yang dihadiri oleh 10 hingga 15 individu dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) di hadapan Kedutaan Rusia, pada Rabu.

"Perhimpunan itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dan semua individu yang hadir turut patuh dengan arahan pihak polis untuk bersurai selepas berhimpun tidak melebihi 20 minit.

“Sebelum perhimpunan itu, ada wakil PSM berjumpa dengan saya pada Selasa untuk memaklumkan mengenai perhimpunan berkenaan. Saya sudah menyampaikan garis panduan yang perlu mereka patuhi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain perhimpunan itu, terdapat dua lagi perhimpunan diadakan oleh pelajar Ukraine serta wakil duta Ukraine di Kedutaan Rusia, pada minggu lalu.

"Ketiga-tiga perhimpunan itu diadakan dalam jumlah yang kecil serta mematuhi SOP ditetapkan dan tiada tindakan diambil terhadap mereka," katanya.

Ashari memaklumkan, pihaknya akan memantau lokasi terbabit kerana terdapat kemungkinan ada perhimpunan diadakan di pejabat Kedutaan Rusia sekiranya konflik berkenaan berpanjangan.