MBS digesa bertimbang rasa kepada peniaga ada tunggakan kompaun parkir

MBS digesa lebih bertimbang rasa terhadap para peniaga yang ingin perbaharui lesen perniagaan namun mempunyai kompaun letak kereta tertunggak. (Gambar kecil: Mohd Khairil Anuar)
MBS digesa lebih bertimbang rasa terhadap para peniaga yang ingin perbaharui lesen perniagaan namun mempunyai kompaun letak kereta tertunggak. (Gambar kecil: Mohd Khairil Anuar)
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) digesa lebih bertimbang rasa terhadap para peniaga yang ingin perbaharui lesen perniagaan namun mempunyai kompaun letak kereta tertunggak.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Pas, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa berkata, beliau difahamkan permohonan para peniaga untuk perbaharui lesen tidak akan diluluskan jika mereka tidak menjelaskan kompaun letak kereta yang tertunggak.

"Kita menyatakan bantahan kepada pihak MBS kerana melaksanakan dasar terlalu tegas dan kurang bertolak ansur kepada para peniaga.

"Kompaun parkir tiada kaitan dengan lesen perniagaan dan tindakan MBS seolah-olah menyalahgunakan kuasa untuk menghalang peniaga-peniaga perbaharui lesen perniagaan kerana tidak menjelaskan kompaun parkir," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, tindakan itu akan menjejaskan kehidupan ramai peniaga yang sememangnya susah sebelum ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan berkata, MBS diharap dapat menarik balik perintah yang disifatkan tidak adil itu.

"Lagipun para peniaga baru sahaja memulakan perniagaan selepas hampir dua tahun ditutup akibat pandemik Covid-19.

"Jika tiada perubahan kemungkinan semakan undang-undang boleh diambil terhadap tindakan MBS yang menggunakan kuasa sewenang-wenangkan untuk menghalang hak rakyat berniaga mencari rezeki," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, sistem dalam talian MBS sememangnya mengesan mana-mana tunggakan sebelum meneruskan permohonan lain di MBS

Bagaimanapun katanya, peniaga boleh berbincang dengan MBS untuk mendapatkan diskaun.

"Kadang-kadang orang rasa kompaun ini tiada apa-apa dan mereka terus biarkan tunggakan kompaun yang perlu dibayar.

"Ini bukan bermaksud MBS tak prihatin, tapi sistem itu automatik mengesan mana-mana kompaun atau saman tertunggak," katanya.