Identiti dua maut nahas kereta, lori dikenal pasti

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KLANG - Identiti kedua-dua mangsa maut dalam kemalangan selepas kereta jenis Perodua Bezza dinaiki mereka melanggar sebuah lori 10 tan yang membuat pusingan U berhampiran Balai Polis Bukit Raja di sini pada Rabu, dikenal pasti.

Mereka ialah pemandu kereta, Andrew Cheng Chai Jiea, 20, dan penumpang, Chee Wai Loo, 22, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada jam 2.44 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori tersebut hendak membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Sirat/Jalan Inang di sini.

"Kereta Perodua Bezza dari arah belakang lori berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar pada bahagian sisi kanan kenderaan itu," katanya.

Azman berkata, akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat bagi mencari punca kematian," katanya.

Beliau berkata, persimpangan tersebut merupakan kawasan tidak dibenarkan membuat pusingan U.

"Kes disiasat di bawah Sek 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: