‘Saya tak guna sentimen pengkhianat untuk menang’

Muszaidi
Muszaidi
A
A
A

KOTA TINGGI - Calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Muszaidi Makmor menegaskan beliau tidak akan menggunakan sentimen pengkhianat terhadap kumpulan yang bertindak keluar daripada UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Muszaidi berkata, isu lompat parti yang berlaku di kawasan itu dianggap sebagai satu perkara yang sudah lepas dan tidak perlu terlalu difikirkan.

Bagaimanapun. beliau berkata, adalah tidak salah untuk UMNO kembali mengambil kerusi di DUN tersebut kerana kawasan berkenaan sememangnya merupakan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya tidaklah ambil benda itu sebagai kaedah (sentimen pengkhianat) saya untuk menang.

“Iltizam sebagai calon parti, saya nak bawa dan jaga nama UMNO. Jadi kalau saya bekerja untuk nama baik UMNO, maknanya tanggungjawab saya berat. Jadi saya kena jalankan sebaik yang mungkin,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, selain Muszaidi, persaingan kerusi DUN Sedili akan membabitkan calon daripada Perikatan Nasional (PN), Mohd Hasnolhadi Mohd Sebala; Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tariq Ismail Mustafa dan Mat Khairi Samsudin daripada Pakatan Harapan (PH).

Pada PRU14, Rasman Ithnain, yang bertanding menggunakan tiket BN memenangi DUN tersebut dengan majoriti 9,168 undi.

Bagaimanapun, Rasman kemudian bertindak menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Mei 2018 bagi menyertai kerajaan ketika itu bersama dengan dua lagi ADUN di Johor iaitu Rosleli Jahari (Johor Lama) dan Alwiyah Talib (Endau).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muszaidi berkata, antara isu terbaru yang perlu ditangani di kawasan DUN Sedili ialah berkaitan dengan serangan gajah liar yang merosakkan tanaman kelapa sawit yang juga merupakan sumber penghasilan penduduk.

Selain itu, beliau berkata, isu lain turut perlu diambil perhatian ialah masalah gangguan air yang kritikal semasa musim kemarau, keadaan muara Sungai Sedili yang sudah tohor dan termasuk masalah berkaitan perumahan generasi kedua peneroka Felda.