Maqis rampas daging kerbau sejuk beku RM323,000

Maqis Selangor merampas daging kerbau sejuk beku bernilai RM323,000 di Pelabuhan Klang Barat, Klang pada Sabtu lalu.
Maqis Selangor merampas daging kerbau sejuk beku bernilai RM323,000 di Pelabuhan Klang Barat, Klang pada Sabtu lalu.
A
A
A

KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 24 tan daging kerbau sejuk beku bernilai RM323,000 di Pelabuhan Klang Barat, di sini pada sabtu lalu.

Maqis Selangor berkata, pemeriksaan pada jam 3.25 petang itu mendapati sebuah kontena yang membawa dagangan daging kerbau sejuk beku dari India itu tidak mematuhi syarat permit import Maqis.

Menurutnya, pengimport yang membawa dagangan itu gagal mempamerkan logo halal di dalam kotak dagangan yang dikehendaki seperti mana yang dinyatakan di dalam syarat permit import yang diluluskan.

"Berikutan itu, kira-kira 1,120 karton daging terbabit yang bernilai RM323,000 ditahan untuk tindakan lanjut.

"Kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada Permit Import Maqis menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2) akta yang sama. Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, Maqis Selangor mengambil serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian Negara.

"Maqis menasihatkan agar semua pengimport dan pengeskport mematuhi peraturan yang telah ditetapkan kerajaan.

"Pada masa yang sama, kita juga akan terus mengimbangi keperluan pemain industri dalam melaksanakan aktiviti perdagangan melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, khidmat nasihat dan memudahcara urusan perdagangan yang sekali gus membantu perkembangan ekonomi negara," ujarnya.

Artikel Berkaitan: