PRN Johor: Calon Pejuang cari platform selesai masalah rakyat

Ahli Parti Perjuang Mahdzir Ibrahim akan bertanding di N17 Semerah bagi Pilihan Raya Negeri Johor.
--fotoBERNAMA
Ahli Parti Perjuang Mahdzir Ibrahim akan bertanding di N17 Semerah bagi Pilihan Raya Negeri Johor. --fotoBERNAMA
A
A
A

BATU PAHAT - Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah Mahdzir Ibrahim menjelaskan tindakan beliau bertukar haluan daripada DAP kepada Pejuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah kerana mencari platform bagi ‘menyelesaikan’ masalah rakyat.

Apatah lagi peluang bertanding di DUN Semerah, bagaikan sirih pulang ke gagang apabila pulang bertanding di kampung halamannya.

Mahdzir, 46, yang pernah menjadi antara calon Melayu DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Parlimen Tanjung Piai, Johor berkata, beliau beralih arah menyertai parti yang diasaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu kerana menganggap DAP sudah terpesong daripada matlamat utama berjuang demi rakyat.

"Apabila PH memimpin kerajaan pada 2018, saya lihat DAP terganggu orientasinya untuk memperkasakan parti dan isu rakyat. Perkara itu lari daripada matlamat saya menyertai DAP untuk bantu rakyat.

"Saya masuk Pejuang bukan untuk jawatan dan sebagainya, (Pengerusi Pejuang) Tun Mahathir tidak menawarkan apa-apa untuk saya,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Ditanya mengenai peralihan beliau dari parti DAP yang merupakan parti berbilang bangsa kepada parti Pejuang yang lebih didominasi orang Melayu, Mahdzir berkata perkara berkenaan tidak menjadi masalah baginya untuk menjadi seorang pemimpin.

Katanya walaupun Pejuang merupakan parti yang berasaskan orang Melayu tetapi keutamaan beliau adalah untuk berkhidmat kepada semua kaum, dan baginya pemimpin yang amanah bakal membawa keadilan kepada semua masyarakat tidak mengira kaum.

Mengulas mengenai janjinya kepada masyarakat di DUN Semerah, Mahdzir berkata, beliau ingin membangunkan bakat belia tempatan terutamanya dalam menceburi bidang keusahawanan.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan bantu peniaga kecil dan penduduk muda dan saya nampak kalau kita tengok lokaliti di sini ada pantai dan saya rasa ia boleh jadi tarikan pelancongan dalam usaha mambangun usahawan tempatan,” katanya.

DUN Semerah menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Mahdzir dengan Mohd Fared Mohd Khalid yang mewakili Barisan Nasional (BN), penyandang Mohd Khuzzan Abu Bakar dari PKR, Datuk Ariss Samsudin mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Kamarolzaman Mohd Jidi dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU-14), kerusi DUN Semerah dimenangi oleh Mohd Khuzzan yang menewaskan Mohd Ismail Roslan (BN) dengan majoriti 98 undi. - Bernama